Pengurus West Ham United, David Moyes memuji persembahan bertenaga dipamerkan ‘wonderkid’ Chelsea, Billy Gilmour sambil menyifatkan pemain tengah berusia 18 tahun itu seperti pemain yang begitu profesional.
Gilmour yang sememangnya merupakan prospek masa depan Chelsea dan Scotland mencuri tumpuan ramai selepas beraksi cemerlang ketika The Blues berjaya menundukkan Liverpool 2-0 di pusingan kelima Piala FA.
Aksi menariknya itu telah menyaksikan Frank Lampard memberikan peluang beraksi 90 minit pada perlawanan Liga Perdana Inggeris bertemu Everton di mana Chelsea menang selesa 4-0 di Stamford Bridge.
Berikutan persembahan matang dipamerkannya, Gilmour telah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan bagi kedua-dua aksi tersebut.
Keadaan itu turut telah berjaya minat Moyes yang kebetulan juga berasal dari Glasgow, Scotland, sama seperti Gilmour.
”Jika salah seorang [pemain dari Scotland] yang akan saya tandatangani esok, dia adalah Gilmour selepas persembahan pembukaan bersama Chelsea.”
”Dia kelihatan seperti seorang pemain yang begitu profesional. Dia nampak seperti seorang pemain yang lapar, pemain yang jatuh cinta dengan permainan ini,” ujar Moyes menurut laporan Goal.
”Cara permainannya mengingatkan saya kepada pemain-pemain Scotland pada satu ketika dahulu. Mereka sentiasa menjadi pemain yang baik, sangat berbakat dan pada ketika ini, saya telah melihat pada masa yang singkat, Gilmour adalah seperti itu.”
Dalam pada itu, Moyes sempat berseloroh mengulas tentang minat yang ditunjukkan Chelsea untuk mendapatkan pemainnya, Declan Rice.
”Saya ketawa kerana sering diberitahu bahawa Chelsea mahukan Declan Rice, jadi saya berfikir saya mungkin hanya memerlukan Billy Gilmour [sebagai ganti] dan kita lihat bagaimana selanjutnya.”
Gilmour menyertai skuad remaja The Blues pada Julai 2017 dari Rangers dan setahun kemudian apabila memasuki usia 17 tahun, beliau telah menandatangani kontrak profesional bersama Chelsea.
Kehadiran Frank Lampard yang percaya kepada bakat muda memberikan peluang buat Gilmour untuk membuktikan kemampuannya setelah beliau diserapkan masuk ke skuad utama pada 12 Februari 2020.
Baru sahaja Gilmour mahu mempamerkan lebih lagi kehebatannya, saingan liga terpaksa dihentikan susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini.