Pada awal pagi tadi, Manchester United seri dengan Southampton. Ini terus menjadikan mereka pasukan paling banyak seri dalam 5 liga utama Eropah dengan 15 kali seri.
United merekodkan kutipan mata liga terendah dalam sejarah kelab mereka sejak 1990/91.
Dalam sidang media selepas perlawanan tersebut wartawan turut bertanya tentang persediaan United untuk perlawanan EPL terakhir dilangsungkan.
Jose Mourinho sudah ‘merayu’ kepada Sam Allardyce agar tidak terlalu serius dengan pasukan beliau Ahad ini.
Mourinho menyatakan, beliau tidak mahu mengambil risiko menurunkan pemain utama dalam perlawanan menentang Palace pada Ahad ini.
Ini kerana beliau mahu menyediakan pasukan yang terbaik untuk perlawanan menentang Ajax pada Rabu ini di pentas akhir Europa League.
Mourinho: Kami tetap tangga ke-6 dan Palace sudah selamat
Jose Mourinho memberitahu wartawan yang pasukan Manchester United tidak ada apa lagi diperjuangkan di dalam EPL. Menang, kalah atau seri mereka tetap berada di tangga ke-6.
Manakala skuad Sam Allardyce pula tidak ada isu untuk bertarung dengan zon penyingkiran. Beliau berkata:
“Di mana-mana negara di dunia, perlawanan seperti kami ini akan diadakan pada Sabtu. Ini kerana kami tetap akan berada di tangga ke-6, tidak kira apa yang berlaku. Palace pula sudah berada di zon selamat.”
Mourinho seakan-akan mempertikaikan penjadualan EPL yang dianggap beliau menyusahkan United sepanjang kempen mereka di Europa League.
FA England tak bertimbang rasa
Sebelum ini Mourinho menuduh FA England adalah punca pasukan-pasukan dari England gagal di Eropah kerana penjadualan yang terlalu padat dan sukar untuk bertimbang rasa.
Namun begitu, setiap tahun EPL menjadualkan liga pada waktu dan hari yang sama pada hari terakhir. Beliau berkata lagi:
“Jadi, saya fikir, selepas Palace menewaskan Hull, Hull pun tersingkir dan Swansea selamat. Ketika itu saya berpendapat perlawanan kami harus diubah ke hari Sabtu.”
“Mana-mana negara di dunia, perlawanan seperti kami ini akan berlangsung pada Sabtu. Dan saya harap anda semua tidak ‘membunuh’ saya apabila melihat senarai pemain dalam pasukan saya Ahad ini.”
Wartawan bertanya sama ada Mourinho sudah menghantar surat untuk meminta jadual diawalkan ke Sabtu. Beliau menjawab:
“Saya tidak perlu membuat benda yang membuang masa. Buat apa saya nak berjuang dalam pertarungan yang saya tahu saya akan kalah. Saya tidak akan berjuang dalam pertarungan seperti itu.”
“Awak semua (wartawan) adalah orang Inggeris dan sudah berada di sini sejak lahir. Saya pula sudah berada di sini, empat tambah 3 tahun, 7 tahun.”
“Saya tidak pernah melihat anda prihatin ke atas masalah yang melibatkan pasukan Inggeris yang beraksi di Eropah.”
“Saya tidak pernah melihat ada sokongan ketika saya bersama Chelsea. Ketika Manchester United dahulu beraksi di UCL. Dan juga ketika City ke separuh akhir UCL musim lalu. Tak ada!”
“Jadi saya anggap ia pertarungan yang saya tak akan menang. Kita terima sahajalah dasar yang ada.”
Tolong maafkan jika budak-budak gugup
Jose Mourinho memberitahu dia akan menggunakan penjaga gol ke-3, Joel Pereira yang berusia 20 tahun pada Ahad ini.
Axel Tuanzebe juga akan terus terlibat setelah memulakan 3 perlawanan liga berturut-turut. Eric Bailly akan diturunkan kerana digantung dalam final UEL.
Nama-nama pemain akademi seperti Demetri Mitchell, Scott McTominay, Matty Willock, Josh Harrop dan Zachary Dearnley juga berpotensi akan diturunkan.
“Saya berharap penyokong di Old Trafford menyokong pasukan ini. Jangan terlalu menilai kenaifan permainan budak-budak ini. Maafkan mereka jika mereka gugup dalam perlawanan itu nanti.”
Sambil berseloroh Mourinho berpesan kepada Allardyce:
“Saya harap Big Sam tidak lupa yang kami berdua ni sahabat baik dan main perlahan sikit hari Ahad ini.”
“Minta dia beritahu Zaha agar tidak terlalu laju menggelecek budak-budak ini. Jika boleh biarkan Benteke duduk rehat di rumah. Kalau dia ada, minta dia tidak terlalu keras terhadap kami.”