Jose Mourinho berkata beliau mempunyai pengalaman yang hebat ketika bersama Real Madrid, dan percaya kelab itu telah menjadikan beliau seorang pengurus dan individu yang lebih baik.
Mourinho -dipecat sebagai pengendali Manchester United pada DIsember- adalah pengurus skuad Los Blancos selama tiha musim sehingga 2013. Sepanjang tempoh itu, Real Madrid pernah bergelar juara La Liga, Copa del Rey dan juga Supercopa de Espana.
Pengendali kelahiran Portugal itu dikaitkan kembali dengan kepulangan ke Estadio Santiago Bernabeu untuk menggantikan Santiago Solari pada penghujung musim ini. Solari merupakan pengendali yang mengambil alih dari Julen Lopetegui pada Oktober lalu, namun bekas pemain itu gagal memulihkan prestasi gergasi Sepanyol itu seperti yang dikehendaki.
Seakan-akan seperti yakin dirinya akan disatukan kembali dengan Real Madrid, Mourinho hanya mempunyai kata-kata pujian untuk kelab yang pernah dikendalikannya itu.
“Saya mempunyai pengalaman yang hebat,” ujar Mourinho kepada Deportes Cuatro.
“Bekerja di Real Madrid adalah pengalaman yang unik, dan berbeza dengan apa yang saya lalui bersama-sama kelab lain.
“Kami melakukan perkara yang hebat bersama-sama dan memenangi kejuaraan liga dengan cara yang unik. Kami turut melalui masa yang sukar. Saya pernah melakukan kesilapan, namun pengalaman itu menjadikan saya seorang pengurus dan individu yang lebih baik dari sebelumnya.
Mourinho juga enggan menolak spekulasi yang mengaitkan beliau dengan jawatan pengurus di Real Madrid, sebaliknya bertegas beliau tidak mempunyai isu untuk mengendalikan mana-mana kelab yang pernah beliau kendalikan sebelum ini.
“Saya tidak akan ada masalah untuk kembali ke Madrid, Porto, Chelsea atau Inter, atau mana-mana pasukan lain yang saya pernah kendalikan.
“Ia adalah perasaan yang amat bagus apabila ada kelab yang mahukan anda, walaupun pernah bekerja bersama sebelum ini. Sehingga kini hanya Chelsea yang pernah berbuat demikian.”