Keputusan seri 0-0 Manchester United ke atas West Ham awal pagi tadi sepatutnya rasa tidak puas hati pada pengendali skuad itu, Jose Mourinho tetapi beliau enggan mengkritik aksi tidak bermaya pasukannya itu.
Dalam perlawanan itu yang menyaksikan tidak banyak peluang dicipta, percubaan Luke Shaw terkena palang manakala tandukan Paul Pogba tersasar jauh pada babak pertama.
Aksi ketiga tanpa jaringan dalam lima perlawanan terakhir buat United bermakna musuh setempat Manchester City boleh merakam satu lagi rekod Liga Perdana iaitu memenangi liga dengan perbezaan sekurang-kurangnya 19 mata jika mereka menang di Southampton pada hari terakhir musim, Ahad ini.
“Kami pasukan kedua terbaik dalam Liga Perdana, pertandingan fantastik dengan banyak pasukan bagus,” kata Mourinho.
“Kami muncul naib juara. Saya tidak terlalu gembira kerana ia bukannya tabiat saya, tapi sejak saat kami berasakan mustahil untuk berada di tangga pertama, kami memang menyasarkan untuk berakhir di tangga kedua dan ia dilaksanakan hari ini.”
Dalam perlawanan pertama sejak bekas pengurus legenda Alex Ferguson terpaksa menjalani pembedahan mengejut berikutan pendarahan otak, penyokong pelawat menunjukkan sokongan mereka kepada warga Scotland berusia 76 tahun itu dengan nyanyian berterusan “kami sayangkan Alex Ferguson.”
Suasana lebih memilukan buat penyokong tuan rumah pada hujung satu lagi kempen mengecewakan buat Hammers.
Dua tahun lalu pada hari sama, West Ham mengucapkan selamat tinggal kepada Upton Park dengan kemenangan menakjubkan 3-2 ke atas United pada malam penuh emosi di timur London.
Kemenangan itu turut membantu mereka layak ke Eropah, namun perpindahan ke Stadium London setakat ini ternyata hanya impian palsu.
Mereka bagaimanapun memastikan kekal dalam Liga Perdana hujung minggu lalu dan West Ham menghuni tangga ke-15.
“Ia satu pencapaian besar buat kami,” tegas pengurus West Ham, David Moyes selepas mengekalkan pasukannya di liga utama.