Jose Mourinho tidak berpuas hati dengan sikap dan juga mentaliti pemain beliau. Dan pada masa yang sama menyalahkan pengadil sebagai punca kekalahan Man. United di tangan West Ham.
Mourinho kini dalam tekanan selepas insiden luar padang dengan Paul Pogba yang sebelum ini terbuka mengkritik taktikal bertahan diamalkan Man. United terutama sekali di Old Trafford.
Man. United sebelum ini seri dengan Wolves dan disingkirkan pasukan divisyen bawahan Derby County dalam Piala Carabao.
Dalam perlawanan menentang West Ham, Mourinho meletakkan pemain tengah defensif, Scott McTominay sebagai pemain bek tengah kanan dalam sistem bek bertiga.
Namun Mourinho mempertahankan pemilihan pemain dan taktikal beliau. Sebaliknya mengkritik sikap pemainnya.
“Saya tidak berpuas hati dengan kualiti dan juga mentaliti para pemain hari ini.”
“Anda seharusnya berterusan mencuba dan mencuba, itulah cara bola sepak yang saya pegang dalam bola sepak profesional.”
Mourinho mengeluarkan Pogba pada minit ke-71. Pemain yang dipecat daripada jawatan timbalan kapten.
Jika sebelum ini Mourinho memberitahu angka 3 bukan sahaja merujuk kepada kemenangan Spurs 3-0 tetapi merujuk kepada jumlah EPL beliau ada.
Semalam angka 3 ada lagi, selain daripada jaringan West Ham, Mourinho juga menghadkan jumlah soalah kepada 3 soalan sahaja.
Sebelum perlawanan Mourinho menyisihkan pemain bergaji tertinggi mereka, Alexis Sanchez dengan menyatakan ringkas ianya adalah ‘opsyen’.
Namun dalam sidang media beliau menyindir wartawan dengan menyatakan, bukankah ramai mahu Martial bermain berbanding Sanchez?
“Saya nak turunkan Martial, bukankah kamu semua sudah lama mahukannya? Dari dulu.”
“Jadi saya sisihkan Alexis.”
Mourinho kemudian menjelaskan yang Martial diturunkan kerana beliau mahu bermain 3-5-2. Martial jadi penyerang kedua berbanding dengan bermain di sayap kerana ada isu dengan ‘track back’.
“Martial bukan pemain yang benar-benar boleh fokus kepada tugas bertahan. Meletakkan beliau sebagai penyerang kedua dan hanya untuk membayangi (covering) Declan Rice, tugas yang lebih mudah untuk beliau.”
https://twitter.com/UnitedStandMUFC/status/1046063919092170752
“Pada masa yang sama kami perlukan kualiti untuk membentuk serangan daripada belakang, jadi McTominay ada kualiti itu.”
“McTominay ada karakter yang istimewa. Personaliti yang diperlukan dalam pasukan yang dalam situasi negatif ketika ini.”
“Pasukan yang dalam situasi negatif memerlukan mentaliti seperti mana yang ada pada McTominay.”
“Bukan semua pemain kami ada mentaliti seperti itu. McTominay ini adalah pemain muda yang ada karakter istimewa.”
Selepas itu Mourinho mengarahkan kritikan beliau kepada mutu pengadilan. Beliau menganggap 2 situasi Zabaleta tidak diadili sebaik mungkin.
Pertamanya adalah ofsaid ketika pembentukan gol pertama. Seterusnya adalah, Zabaleta mengasari Marcus Rashford ketika pembentukan gol ke-3.
Namun Mourinho tidak menafikan yang mereka melakukan transisi dengan lemah.
“Gol pertama adalah daripada situasi ofsaid. Dan gol ke-3 adalah kerana kesilapan pengadil (Michael Oliver).”
“Namun begitu kami memang tidak melakukan transisi dengan baik.”
“Kami tidak bermain dalam satu pasukan yang baik ketika hilang bola (transisi). Ini yang membuatkan lawan kami menyerang balas.”
“Zabaleta tidak melihat bola pada situasi gol ke-3, dia hanya pergi dan menarik Marcus Rashford. Namun Oliver melihat situasi itu berbeza (bersih).”