Seperti yang kita semua sedia maklum, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasminya telah mengiktiraf pencapaian legenda bola sepak Malaysia, Mokhtar Dahari sebagai penghuni kedudukan ketiga dalam carta gol jaringan antarabangsa.
Pemain yang turut dikenali sebagai Supermokh di kalangan peminat bola sepak tempatan menjaringkan 89 gol untuk Malaysia, dan dibezakan 20 gol berbanding Cristiano Ronaldo dan Ali Daei.
Jumlah gol yang dijaringkan oleh Mokhtar Dahari juga kini mempunyai kelebihan 14 gol di atas Lionel Messi yang baru naik ke tangga kesembilan dalam carta.
Bakat terpendam dari kecil
Mohd Mokhtar bin Dahari adalah nama sebenarnya. Dilahirkan pada 13 November 1953, Mokhtar Dahari dilahirkan di Setapak, Selangor (kini Kuala Lumpur).
Mokhtar Dahari merupakan anak sulung kepada pasangan Dahari Abeng dan juga Aminah Binti Sharikan. Pada usianya 11 tahun, beliau dan keluarganya berpindah ke Kampung Pandan.
Mokhtar mempunyai minat yang mendalam pada sukan bola sepak sejak usia muda lagi. Walaupun terlibat dalam beberapa jenis sukan seperti badminton, bola sepak tetap sukan nombor satu di sanubari Mokhtar Dahari.
Maka tidak hairanlah Mokhtar menjadi bintang bola sepak sejak dari zaman persekolahan lagi. Mewakili Victoria Institution pada zaman persekolahannya, bakatnya dalam bola sepak semakin terserlah.
Pada usia 18 tahun, Mokhtar Dahari telah dipanggil untuk mewakili pasukan remaja Selangor dalam kejohanan Piala Burnley (pada hari ini dikenali mirip pertandingan Piala Presiden) yang diadakan di Sarawak selaku tuan rumah.
Kehebatannya bersama skuad remaja Selangor menyebabkan Mokhtar dipanggil untuk bermain bersama skuad utama pasukan merah kuning itu.
Bersama skuad utama Selangor, Mokhtar Dahari merupakan pemenang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 10 kali- terbanyak pernah dimenangi oleh seorang pemain dalam sejarah pertandingan tersebut.
Selain daripada itu, Mokhtar Dahari turut pernah membawa Selangor muncul juara liga pada 1984 (pemberian trofi kepada juara liga hanya bermula pada tahun 1982).
Hero Malaya
Nama SuperMokh bukan sehaja dianggap wira di kalangan penyokong Selangor. Malah nama pemain ini turut mulai meniti bibir peminat bola sepak di seluruh negara sebagai Hero Malaya. Antara kejohanan di mana Mokhtar Dahari menyerlah, ialah Pestabola Merdeka.
Pestabola Merdeka merupakan kejohanan yang sinonim dengan kehebatan pasukan negara satu masa dahulu. Pestabola Merdeka adalah kejohanan bola sepak tertua di rantau Asia.
Kejohanan ini kaya dengan sejarah, dan cerita. Ia adalah keramat dan mencatit deretan nama lagenda yang pernah dilahirkan daripada kejohanan berprestij tersebut.
Bagi rakyat dan penyokong Malaysia yang pernah menyaksikan kelibat Mokhtar Dahari, anda pasti akan mengatakan bahawa pemeriah kejohanan tersebut adalah SuperMokh!
Pestabola Merdeka adalah pentas Mokhtar Dahari mencipta nama di peringkat antarabangsa. Bersama Harimau Malaya, Mokhtar Dahari menjulang Piala Pestabola Merdeka sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1973, 1973, 1976 dan juga pada tahun 1979.
Antara yang akan terus menjadi memori ialah tandukan terbang Mokhtar Dahari di hadapan lebih 55,000 penonton di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Malaysia menundukkan Jepun dengan jaringan 2-0 dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 1976 itu.
Selain daripada Pestabola Merdeka, Mokhtar Dahari turut membantu Malaysia memenangi pingat emas acara sukan bola sepak sebanyak dua kali di Sukan SEA (1977, 1979) dan pingat gangsa Sukan Asia pada tahun 1974 di Tehran.
Arsenal, England Dan Maradona
Pada 11hb Mei 1975, Malaysia dikunjungi oleh juara berganda musim 1970-1971 Arsenal untuk perlawanan persahabatan.
Arsenal yang dibimbing oleh Berti Mie turut tiba bersama barisan terbaik skuad The Gunners pada era itu seperti Peter Storey, John Radford, Sammy Nelson, George Armstrong, Peter Simpson dan juga Geoff Barnett.
Gandingan Mokhtar Dahari bersama Isa Bakar mengejutkan gergasi Inggeris itu dalam perlawanan yang diadakan di hadapan 30,000 penonton di Stadium Merdeka. Dua gol SuperMokh menundukkan saingan Arsenal pada malam itu untuk memberi kemenangan 2-0 ke atas Malaysia.
Kehebatan Mokhtar Dahari nyata memukau Berti Mie sehingga wujud perkhabaran bahawa Arsenal ingin melamar Mokhtar Dahari ke London selepas perlawanan tersebut.
Selain daripada Arsenal, SuperMokh turut pernah memukau skuad kebangsaan England B yang bertandang ke Kuala Lumpur. England mendahului seawal minit ke-14 dalam perlawanan yang turut diadakan di Stadium Merdeka tersebut.
Pada minit ke-32, magis daripada Mokhtar menjelma. Mokhtar Dahari memulakan larian daripada bahagian tengah padang, menewaskan dua pertahanan England, David Needham kemudiannya Alex Kennedy sebelum rembatannya menewaskan Joe Corrigan untuk mengikat England B 1-1 dalam perlawanan tersebut.
Tarik tumpuan kelab Eropah
Sir Bobby Robson yang merupakan pengendali England pada masa itu berpendapat bahawa Mokhtar Dahari tidak mempunyai masalah untuk beraksi bersama mana-mana pasukan Liga Inggeris. Jelas kelibat SuperMokh mendapat perhatian anatarabangsa pada era kegemilangannya.
Selepas perlawanan itu khabar angin bertiup kencang, Mokhtar Dahari diintai oleh beberapa kelab Inggeris. Namun tiada satu pun yang sahih kecuali satu tawaran dari Sepanyol.
Mokhtar Dahari dikhabarkan menerima lamaran untuk menyertai Real Madrid. Perkara ini dicatatkan di dalam buku berjudul ‘Giving The Game Away’ yang ditulis oleh Stephen Wagg.
Menurut laporan MSN Sports, dalam satu buku oleh Stephen Wagg, 'Giving The Game Away' ada menceritakan tentang Allahyarham Mokhtar Dahari yang pernah mendapat tawaran oleh @realmadrid! 😱
Beliau menolak & mengatakan "I live and die for Selangor". Legend! 🔴🟡 #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/W8W0zZJ3XT
— Team Malaysia (@TeamMsia) June 30, 2021
Stephen Wagg adalah seorang penulis sukan berpengkalan di UK, dan telah menulis pelbagai naskah buku mengenai sejarah dan budaya sukan di seluruh dunia hasil kajian bertahun-tahun.
Walaupun berpeluang beraksi bersama salah sebuah gergasi Eropah pada ketika itu, Mokhtar Dahari menolak tawaran tersebut demi pasukannya Selangor dan skuad kebangsaan.
Beliau dipetik sebagai berkata: “Hidup matiku hanya untuk Selangor.” Tidak menoleh ke belakang selepas itu, Mokhtar Dahari terus menjaringkan gol demi gol sehingga berjaya menghasilkan 89 gol dari 131 penampilan seperti yang diiktiraf oleh FIFA pada hari ini.
Baca artikel menarik lain daripada kami:
Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode
Kenangan K. Rajagopal Sebagai Pemain Muda Digandingkan Dengan Legenda SuperMokh