Kami tidak mengerti apa yang difikirkan oleh sebilangan rakyat Mesir. Sama ada terdapat pengundi yang berniat untuk bergurau atau serius sewaktu pilihan raya Presiden Mesir tempoh hari.
Pilihan raya Presiden Mesir pada beberapa hari lepas menyaksikan tidak sampai 41% pemilih yang berdaftar menunaikan tanggungjawab.
Abdel Fattah al Sisi yang menjadi calon bebas menerima 92% undian daripada pengundi. Pesaing tunggal beliau, Moussa Mustafa daripada sebuah parti kecil hanya menerima 3% undi.
Mohamed Salah calon ketiga?
Ya, difahamkan 1.5 juta undi rosak telah pun diterima sewaktu pemilihan bagi ketua negara Arab ini. Ini mewakili 5% daripada undi rosak.
Ada dari kalangan pengundi memangkah kedua-dua ruang pada kertas undi. Tetapi para pengira undi telah dikejutkan dengan calon ketiga yang tiba-tiba muncul pada kertas undi.
Walhal, hanya dua nama sahaja diletakkan pada kertas undi tersebut. Nama ketiga tersebut ialah Mohamed Salah, pemain Liverpool yang berasal dari Mesir.
Disanjung
Nama Mohamed Salah dikenali di serata dunia bukan sahaja aksi memukau di padang. Selain itu, amal kebajikan beliau telah membuatkan beliau menjadi contoh di dalam dan luar padang.
Kami berharap pemain ini dapat beraksi di Mesir sewaktu Piala Dunia tidak lama lagi. Walaupun aksi pembukaan Mesir dalam kejohanan itu dikatakan pada Hari Raya Aidilfitri kedua.
Aduh, dendang perantau buat Mo Salah dan rakan-rakan nanti!
Bukan kali pertama
Ia bukanlah kali pertama kerja seperti ini dibuat di serata dunia. Lionel Messi pernah juga menjadi mangsa.
Nama beliau telah diletakkan oleh pengundi di Amerika Syarikat sewaktu pemilihan Presiden beberapa tahun lepas. Peraturan di negara tersebut telah menetapkan pengundi boleh menulis nama calon pilihan mereka.
Tetapi tak bermakna, pengundi boleh letak nama individu yang tidak kena mengena dalam dunia politik.
Kami berharap pada pilihan raya umum di negara ini yang bakal menjelang, tiada siapa akan mengikut jejak langkah seperti ini.