Aduhai, siapa yang mengguris hati Mohamed Salah?
Pemain Liverpool dan Mesir itu dikatakan berasa terhina dengan perbuatan yang dilakukan oleh FA Mesir.
FA Mesir didapati telah meletakkan wajah Salah di imej yang menghiasi kapal terbang rasmi pasukan kebangsaan Mesir.
Apa yang menjadi isu adalah wajah Salah dipaparkan dengan terdapat penaja lain di paparan tersebut.
Penaja lain yang dimaksudkan adalah jenama WE. Tetapi kenapa Salah berasa sungguh terhina?
Hal ini kerana WE merupakan pesaing kepada Vodafone. Vodafone pula merupakan syarikat yang menaja Salah.
Bagi Salah, tindakan FA Mesir itu merupakan penghinaan besar kepada beliau dan juga Vodafone dan beliau berharap badan induk itu boleh tangani isu ini dengan lebih berhemah.
بكل أسف طريقة التعامل فيها إهانة كبيرة جدًا.. كنت أتمنى التعامل يكون أرقى من كدا…
— Mohamed Salah (@MoSalah) April 29, 2018
“Malangnya, ia merupakan satu penghinaan besar kepada saya. Saya berharap isu ini dapat diatasi dengan lebih elok,” kata Salah menerusi laman Twitternya seperti di atas.
Selain itu, FA Mesir telah melanggar hak imej terhadap Salah.
Hal ini kerana, hanya syarikat MS Commercial dan Cayman sahaja yang mempunyai hak ke atas imej Salah. Jika ada pihak lain mahu menggunakannya, perlu ada pernyataan bertulis ditujukan kepada mereka.
Namun begitu, pernyataan bertulis itu tidak dihantar oleh pihak FA Mesir.
Isu ini telah mendapat perhatian pihak kerajaan Mesir dengan Presiden Mesir telah mengarahkan agar isu ini diselesaikan dengan segera.
Abdel-Fattah el-Sissi telah mengarahkan isu ini segera diselesaikan kerana FA Mesir nyata telah melanggar hak imej Salah.
Hal ini kerana, Salah menerusi ejennya iaitu Ramy Abbas telah beberapa kali meminta penjelasan dari FA Mesir mengenai isu ini namun tidak dilayan.
Namun selepas isu ini mendapat tumpuan meluas di media sosial sehingga munculnya tanda pagar #ISupportMohamedSalah yang ditulis dalam bahasa Arab.
Kemunculan tanda pagar itu telah mendorong Menteri Belia dan Sukan Mesir, Khaled Abdel-Aziz untuk mengarahkan FA Mesir melakukan mesyuarat tergempar mengenai isu ini.
FA Mesir kemudiannya bersetuju untuk menurut permintaan Salah mengenai kes yang berlaku antara 2 pihak ini.