Mohamed Salah telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Afrika buat tahun kedua berturut-turut.
Bagi Anugerah Pemain Terbaik Afrika 2018, Salah menyingkirkan rakan sepasukan di Liverpool, Sadio Mane yang mewakili Senegal; dan juga bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang beraksi untuk negaranya Gabon.
Anugerah tersebut diserahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) di satu majlis yang diadakan di Dakar pada Selasa.
Pada tahun sebelumnya, Mohamed Salah turut menyingkirkan dua pemain yang sama untuk memenangi anugerah tersebut – yang diundi oleh pengarah teknikal dan ketua jurulatih 56 buah perwakilan di bawah naungan CAF.
Anugerah cukup bermakna
Walaupun memenangi anugerah tersebut buat kali kedua, penyerang Liverpool dan Mesir itu tetap menganggap pemberian anugerah tersebut sebagai istimewa.
“Anugerah ini amat bermakna buat saya. Saya sukakannya kerana ianya adalah apa yang saya impikan ketika kanak-kanak – dan sentiasa memasang impian untuk memenanginya satu hari nanti,” ujar Salah.
“Saya bangga memenanginya sebanyak dua kali. Saya mahu mengucapkan setinggi penghargaan kepada ahli keluarga, dan juga rakan sepasukan.
“Anugerah ini juga saya dedikasikan khas untuk seluruh Mesir.”
Pencapaian menakjubkan
Musim lalu prestasi Mohamed Salah dianggap sebagai sangat menakjubkan apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, dan membantu Liverpool layak sehingga perlawanan akhir UEFA Champions League.
Namun penampilan Salah di perlawanan akhir tersebut dibayangi oleh kecederaan bahu selepas perebutan bola dengan Sergio Ramos. Kecederaan tersebut sedikit sebanyak menganggu persiapan beliau untuk Mesir di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia pada musim panas yang lalu.
Salah kembali menyengat pada musim ini apabila sudah menjaringkan 13 gol di saingan Liga Perdana Inggeris untuk Liverpool mendahului carta liga.