Croatia memecat jurulatih mereka Ante Cacic hanya beberapa hari sebelum perlawanan menentang Ukraine untuk menentukan kemaraan ke Piala Dunia, sama ada secara automatik ataupun ke play off.
Croatia gagal menang dalam 2 perlawanan terakhir mereka. Tewas 1-0 di tangan Turki dan seri 1-1 dengan Finland. Finland menjaringkan gol penyamaan lewat menerusi Pyry Soiri.
Croatia kini 2 mata di belakang Iceland dan sama mata dengan Ukraine. Perlawanan terakhir mereka adalah menentang Ukraine untuk menentukan siapa akan mara ke Rusia.
Iceland pula, jika menang akan mara ke Rusia secara automatik. Persatuan Bola Sepak Croatia kecewa dengan pencapaian pasukan mereka yang dianggap pasukan pilihan di dalam kumpulan ini.
Luka Modric sendiri mengkritik taktikal Cacic di sidang media. Beliau berkata:
“Apa yang harus kami lakukan sekarang? Kami sudah pun memulakan kempen ini dengan beliau (Cacic) dan kami harus meneruskannya.”
“Semuanya nampak ok sehinggalah perlawanan menentang Iceland. Tiba-tiba segalanya seakan-akan tiada apa-apa dah.”
“Itulah kebenarannya. Situasi di dalam kem kami adalah teruk dan kami tetap masih ada peluang untuk melakukannya.”
Modric memberikan gambaran bahawa Ante Cacic sudah gagal mengawal keadaan di bilik persalinan pasukan mereka.
“Apa yang berlaku? Tiada apa-apa yang saya boleh katakan, kami cuma perlu meneruskan langkah kami untuk ke Piala Dunia. Kami mencipta beberapa peluang dengan inisiatif kami sendiri.”
“Apabila kami mendahului, siapa sangka kami gagal menewaskan Finland. Pasukan Croatia ini terpaksa menunggu wisel akhir untuk menang (1-0), berhadapan dengan pasukan seperti Finland.”
“Ianya sukar untuk dipercayai. Kami bergelut berhadapan dengan pasukan seperti Kosovo juga yang sebelum ini kami boleh menang dengan mudah.”
Presiden Persatuan Bola Sepak Croatia, Davor Suker mengesahkan yang Zlatko Dalic akan mengambil alih tugasan untuk perlawanan terakhir yang dianggap hidup dan mati. Ukraine bukannya lawan yang mudah.