Bintang bola sepak Mesir, Mohamed Salah mendedahkan dia sentiasa bekerja keras untuk menjadi pemain berkualiti bagi membuktikan bahawa kelab lamanya, Chelsea melakukan kesilapan besar apabila menjualnya kepada AS Roma pada tahun 2015.
Beliau menghadirkan impak yang cukup besar buat pasukan Liverpool pada musim ini.
Jelas pemain berusia 25 tahun itu, selepas mendapat tawaran beraksi bersama Liverpool, dia tidak berfikir panjang untuk menyertai skuad bimbingan Jurgen Klopp itu sekali gus dapat memperlihatkan kualitinya sebagai penyerang yang digeruni di England.
“Saya kembali ke England seperti bersama Chelsea empat tahun lalu. Pada ketika itu, ramai yang menyatakan bahawa saya akan menemui kesukaran di kancah Liga Perdana England. Mereka juga tidak memberi motivasi kepada saya untuk bekerja keras.
“Selepas saya sah meninggalkan Stamford Bridge, saya meletakkan sasaran untuk kembali ke England bagi membuktikan bahawa kenyataan yang dilemparkan kepada saya sebelum ini silap.
“Apabila mendapat tawaran menyertai Liverpool, saya terus menerimanya dan sentiasa be-kerja keras untuk mencari keserasian dalam pasukan. Pada hari ini saya boleh berdiri dengan bangga kerana diiktiraf sebagai pemain terbaik tahunan,” jelasnya.
Mo Salah has been named Liverpool's Player of the Month for the 7th time this season. pic.twitter.com/RBTFR24bfV
— PurelyFootball ℗ (@PurelyFootball) May 11, 2018
Sebagai rekod, pada musim pertamanya di Liverpool, Salah sudah meledakkan 43 gol dalam semua perlawanan sekali gus berpotensi besar untuk meraih anugerah kasut emas pada musim ini.
Pemain antarabangsa Mesir itu turut diiktiraf sebagai pemain terbaik Liverpool selain turut memenangi trofi pemain bola sepak terbaik England dari Persatuan Penulis Bola Sepak England.
Liverpool bakal menentang Real Madrid pada aksi final Liga Juara-Juara 27 Mei ini.