Quantcast

BERITA

Giliran Dani Alves Pula Terlepas Piala Dunia 2018

Bintang pertahanan Brazil, Dani Alves sah tidak akan beraksi pada saingan Piala Dunia di Russia tahun ini selepas mengalami kecederaan lutut ketika bermain dengan kelab juara Perancis, Paris Saint-Germain, menurut persekutuan bola sepak Brazil (CBF).

“Semua kemungkinan bagi pemulihannya tidak mungkin, ia mustahil untuk memilih Daniel Alves… bagi Piala Dunia,” menurut kenyataan CBF.

Pemain berusia 35 tahun itu mengalami kecederaan ketika beraksi pada final Piala Perancis menentang Les Herbiers, Selasa lalu, dikeluarkan empat minit sebelum tamat ketika PSG menundukkan kelab kerdil itu 2-0.

Piala Dunia, yang mana Brazil memburu kejuaraan keenam, bermula di Russia pada 14 Jun depan.

Pemain legenda dan pemenang tiga Piala Dunia, Pele menulis dalam Twitter: “Saya terlalu sedih mendengar berita ini. Pemain bola benci jika terlepas aksi tapi saya tahu tidak beraksi pada Piala Dunia satu perasaan yang lebih teruk.”

Kecederaan Alves menjadi tamparan kedua terbesar buat Brazil yang masih mengharapkan bintang serangan Neymar pulih daripada pembedahan kaki. Pemain PSG itu tidak bermain sejak Mac lalu.

Alves sudah beraksi 107 kali bersama Brazil sejak membuat penampilan sulung pada 2006 dan kelihatan pasti berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian Tite pada pusingan akhir Piala Dunia di Russia yang mana Brazil diundi sekumpulan dengan Switzerland, Costa Rica dan Serbia.

Ketua jurulatih skuad Piala Dunia Brazil, Tite dijangka menamakan skuadnya pada hari Isnin ini.

Jurulatih PSG, Unai Emery bersimpati dengan Alves yang mungkin beraksi pada Piala Dunia terakhirnya.

“Doktor mengkaji apa yang terbaik buat Dani Alves. Saya terlalu bersimpati terhadapnya,” ujar Emery.

Alves, bekas bintang Barcelona dan Juventus, sudah memenangi 38 trofi sepanjang kariernya, rekod baru berikutan kemenangan PSG dalam Piala Perancis, Selasa lalu.