‘Misteri Kehilangan Daniel Ting’ – Masalah Peribadi Atau Diintai Pasukan Lain?

Ketiadaan atau hilangnya kelibat pemain pertahanan kacukan Malaysia-England, Daniel Ting daripada latihan pra musim Kuala Lumpur City FC kini boleh dianggap misteri kerana menimbulkan beberapa persoalanan.

Ciapan daripada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengatakan pemain bek kiri itu masih gagal melaporkan diri bersama juara Piala Malaysia musim lalu itu kerana masalah peribadi.

Hanya alasan atas faktor peribadi dinyatakan setakat ini menjadi punca Daniel Ting masih gagal berbuat demikian. Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard dua hari yang lalu.

Timbul pula tanda tanya mengenai status pemain itu selepas itu kerana kontrak beliau bersama skuad warga kota juga berkemungkinan akan ditamatkan.

Apakah masalah yang dihadapi oleh Daniel Ting sehingga membuatkan pemain dan kelab sukar untuk berkompromi? Dan sebagai pemain profesional bukankah Daniel Ting sepatutnya sedar tanggungjawab beliau terhadap kontrak?

Hodak enggan Daniel jejas persiapan

Satu perkara yang pasti ketua jurulatih The City Boys, Bojan Hodak enggan melihat ketiadaan Daniel Ting sebagai masalah untuk pasukan itu melakukan persiapan berhadapan JDT di pertandingan Piala Sumbangsih akan datang.

“Kami mendapatkan khidmat Nabil kerana dia merupakan pemain yang menggunakan kaki kiri kerana musim lalu hanya Daniel yang memiliki kualiti yang sama. Kami juga mendapatkan khidmat Declan yang boleh bermain dalam banyak posisi,” kata Bojan dalam satu laporan berasingan oleh Stadium Astro.

Daniel Ting merupakan antara tongak utama skuad KL City FC yang muncul juara Piala Malaysia pada musim lalu. Beliau memulakan karier di Liga Malaysia bersama JDT pada 2016, sebelum menyertai PKNS FC dua musim selepas itu.

Pemain yang dilahirkan di Cheshire itu membantu PKNS yang dikendalikan Datuk K.Rajagobal ketika itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dan suku akhir saingan Piala Malaysia.

Daniel Ting mengumumkan beliau meninggalkan PKNS pada akhir musim 2018 namun bukan untuk menyertai pasukan lain tetapi dikhabarkan memilih untuk bersara.

Musim 2021 khidmat pemain berusia 29 tahun itu kemudiannya ditagih KL City FC kendalian Bojan Hodak.

Diintai pasukan lain?

Adakah sebenarnya khidmat Daniel Ting sedang diintai pasukan lain sehingga menyebabkan beliau enggan kembali menyertai KL City FC?

Sudah tentu situasi semasa pemain itu akan menyebabkan spekulasi perpindahan. Sekiranya benar maka apa-apa pun boleh berlaku menjelang tarikh tutup pendaftaran pemain pada 22 Februari hadapan.

Tetapi jika benar ada pasukan lain sedang mahukan khidmat Daniel Ting, mengapa tidak duduk berbincang sahaja dengan pihak KL City FC?

Sehingga jendela pendaftaran pemain ditutup, hala tuju dan status Daniel Ting pasti akan terus menjadi tanda tanya. Buat masa ini, ia masih kekal misteri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN