Misi Harimau Malaya Cipta Sejarah Untuk Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026

Harimau Malaya sebenarnya mempunyai satu lagi peluang untuk mencipta sejarah baharu dalam dunia bola sepak antarabangsa, selepas mereka pulang awal daripada saingan Piala Asia 2023.

Terdahulu skuad kebangsaan menjadi antara pasukan yang pulang lebih awal dalam saingan tersebut, selepas mereka berada di kedudukan terakhir peringkat Kumpulan E.

Daripada tiga perlawanan dihadapi, pasukan negara sekadar mampu mengumpul satu mata selepas mencatat keputusan cukup positif untuk mengikat Korea Selatan seri 3-3 di Qatar.

Walaupun segelintir penyokong sedikit terkilan akan keputusan itu, sebenarnya mereka masih berpeluang untuk melihat Harimau Malaya terus mengukir sejarah tersendiri di saingan antarabangsa.

Malaysia kini berpeluang untuk melangkah ke pusingan ketiga bagi Kelayakan Piala Dunia 2026, dengan Oman bakal menjadi lawan seterusnya buat skuad kendalian Kim Pan-gon.

Berada di Kumpulan D, pasukan negara sebenarnya telah pun mencatat keputusan begitu memberansangkan apabila mereka meraih dua kemenangan berturut-turut ketika mengetepikan cabaran Kyrgyzstan serta Taiwan bagi mengumpul enam mata keseluruhan.

Aksi seterusnya menyaksikan skuad kebangsaan bakal menghadapi lawan mereka seterusnya iaitu Oman pada bulan Mac ini di gelanggang lawan untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka di Kumpulan D.

Untuk menghadapi saingan itu, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin menyatakan beberapa perancangan rapi bakal dilakukan untuk memastikan prestasi semasa skuad kebangsaan bersedia menghadapi lawan.

Sebelum berdepan Oman, sekurangnya dua aksi persahabatan akan dirancang mereka tanpa memaklumkan jika ia bakal berlangsung dalam atau luar negara.

“Kita ada beberapa pilihan, mungkin kita akan ke Dubai jika dapat pasukan yang bagus ataupun kita bermain di tempat sendiri.

“Kita masih ada kerisauan meskipun kita sudah mendapat enam mata maksimum dan ada baki empat perlawanan lagi.

“Kita tidak boleh terlepas peluang untuk mencipta satu lagi sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah tiket sebagai 18 pasukan terbaik di Arab Saudi 2027.

“Sebab itu persiapan itu (berdepan Oman) adalah amat penting dan kita sedang berusaha untuk dapatkan sekurang-kurangnya dua perlawanan sebelum kita pergi ke Oman,” kata Hamidin menerusi laporan Berita Harian.

Pada masa sama, Hamidin juga berharap pasukan kebangsaan tidak keciciran sebarang mata pada dua aksi akan datang bagi mencerahkan peluang mereka ke pusingan seterusnya.

“Walaupun kita sudah ada enam mata, kita mesti mencuri mata daripada dua perlawanan menentang Oman ini. Sekurang-kurangnya seri ataupun satu menang dan satu kalah kerana kita tidak boleh kalah dalam kedua-dua pertemuan itu.

“Kalau itu terjadi, kita ada risiko tinggi apabila menentang Kyrgyzstan di tempat lawan dan Taiwan di laman sendiri nanti. Kita perlu cuba untuk layak lebih awal sekali gus dapat konsisten beraksi di Piala Asia,” katanya akhir sekali.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN