Selepas gigih ‘menanam benih’ selama 8 minggu, malam esok akan menjadi penentuan buat pasukan Sabah sama ada mereka akan berjaya ‘menuai’ tiga mata pertama dalam perlawanan Liga Super menentang PDRM di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kedua-dua pasukan merupakan pendatang baharu bagi saingan Liga Super musim ini, namun Sabah yang memegang status juara Liga Premier pada musim lepas menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony yang ditemubual Stadium Astro menjelaskan beliau yakin dengan percaturan ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto untuk berdepan The Cops di gelanggang lawan.
Sabah Mahu Dakap Piala FA Selepas 25 Tahun Kempunan https://t.co/LV1dm1Wbkr pic.twitter.com/CFWMuHPILL
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 26, 2020
“Kita telah berusaha semampunya dalam persiapan. Pengurusan, barisan jurulatih, pegawai-pegawai pasukan dan pemain telah melakukan tugas masing-masing dengan baik.
“Suasana dalam pasukan begitu baik dan mereka sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan pertama ini. Kita sudah berkerja keras dalam persiapan dan esok adalah masa untuk pasukan mula kutip hasil…bawa balik mata penuh,” kata Menteri Infrastruktur Sabah itu.
Tambah Peter lagi, ‘keperitan’ tersingkir dari Liga Super dan beraksi di Liga Premier selama bertahun-tahun sejak 2013 sudah tentu tidak mahu diulangi oleh skuad Tambadau. Ia merupakan motivasi buat para pemain untuk terus beraksi di saingan liga elit itu.
18 orang pemain yang diketuai oleh Rawilson Batuil telah diterbangkan ke ibu negara untuk menggalas misi penting membawa pulang mata sulung mereka.
Lima orang pemain import iaitu Dennis Buschening, Hector Omar Ramos, Raduljob Paunovic, Park Taesu dan Petrus Shitembi dilaporkan cergas sepenuhnya dan sedia untuk diturunkan.
“Tahap saingan Liga Super tentunya lebih tinggi berbanding Liga Premier tetapi kita sudah bersedia dan anggap ia sebagai cabaran yang perlu disahut.
“Persiapan pemain telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto dan saya percaya beliau telah sedia dengan strategi terbaik memulakan saingan musim ini dengan baik.
“Kita perlukan keputusan positif awal sebagai pembakar semangat bagi menghadapi perlawanan-perlawanan berikutnya,” kata Peter lagi.
Kredit Foto: Sabah FA