Gembira dengan hasil yang diperoleh pada tahun pertama, jenama minyak masak tempatan iaitu ALIF memilih untuk terus kekal bekerjasama dengan Liga Malaysia sebagai penaja.
Masuk sebagai penaja minyak masak rasmi Liga Malaysia bermula pada tahun lalu, kejayaan kerjasama antara ALIF dan Malaysian Football League (MFL) membuatkan dua entiti ini memilih untuk terus bersatu memajukan kancah bola sepak tempatan.
Oleh itu, ALIF dan MFL mengadakan majlis pengumuman khas yang menyaksikan kedua-dua entiti terus mengekalkan kerjasama untuk tahun kedua di Menara Sime Darby Plantation dekat Ara Damansara hari ini.
Bagi pihak MFL, mereka jelas berbangga kerana berjaya mengekalkan kerjasama bersama-sama ALIF yang terus kekal sebagai antara penaja Liga Malaysia.
“Kami berbangga dapat meneruskan kerjasama bermakna ini dengan Minyak Masak ALIF, sebagai sebahagian keluarga Liga Malaysia 2023.
“Kerjasama berterusan ALIF bersama MFL menandakan penglibatan positif satu lagi jenama tempatan unggul yang menghargai dan menyokong industri bola sepak tempatan sebagai pentas untuk menambah penglibatan dan kesedaran.
“meneruskan kerjasama strategik ini, kami mengucapkan terima kasih kepada ALIF di atas kepercayaan untuk kami dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan pengalaman terbaik untuk semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.
Dari pihak ALIF pula, kerjasama mereka dengan MFL telah berjaya membuka jalan baharu untuk meneroka golongan sasaran yang berbeza berbanding sebelum ini.
“Perkongsian sekali lagi antara jenama tersebut dengan suatu pentas yang sungguh dinamik seperti MFL akan membantu kami untuk menyampaikan kebaikan ALIF kepada peminat bola sepak Malaysia yang pelbagai.
“Kami sangat teruja untuk terus menyokong sukan kegemaran Malaysia dan membawa bersama ALIF, pasukan bola sepak Malaysia, dan peminat-peminat mereka,” ujar Pengarah Urusan Sime Darby Oils, Haris Arshad.
Selain ALIF, terdapat jenama-jenama utama lain yang turut bekerjasama dengan MFL iaitu AEON Big, Rize oleh Al Rajhi Bank dan Pos Malaysia.
GAMBAR: Hafizuddin Omar – Sukanz