Luka Milivojevic mendedahkan yang beliau tidak dapat tidur selama 2 malam selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Manchester City.
Penalti beliau pada minit akhir diselamatkan oleh Ederson. Milivojevic berpeluang memberikan kemenangan sensasi kepada Palace dan mengakhiri rekod tanpa kalah City. Beliau memberitahu wartawan:
“Saya harus jujur menyatakan yang saya tak dapat tidur selama 2 malam. Sangat sukar untuk menerima hakikat anda gagal menjaringkan sepakan penalti pada minit akhir terutama sekali menentang Manchester City di hadapan penyokong sendiri.”
Beliau berterima kasih dengan rakan sepasukan yang tidak henti-henti memberikan sokongan moral kepada beliau.
“Terima kasih kepada rakan-rakan saya. Mereka memberikan saya sokongan. Tak seorang pun bercerita perkara negatif tentangnya.”
“Saya sudah menjaringkan 5 penalti berturut-turut. Saya gagal sudahkan satu kerana saya menukar keputusan di saat-saat akhir.”
Ditanya adakah beliau terlalu tertekan ketika itu. Ini jawapan beliau:
“Saya tidak ada tekanan ketika itu. Cuma saya mengubah keputusan untuk merembat ke tengah dan rembatan itu teruk.”
“Terima kasih juga kepada penyokong Palace. Selepas saya gagal menjaringkan penalti itu, mereka menyanyikan nama saya untuk memberikan saya sokongan.”
Namun begitu beliau berjaya menebus kehampaan dengan menjaringkan gol kemenangan minit ke-80 ketika menentang Southampton. Crystal Palace menang 2-1 di St. Mary.
“Syukurlah hari ini pasukan kami menang dan saya menjaringkan gol kemenangan itu. Dan sudah pasti saya akan tidur nyenyak sekarang.”