Mile Jedinak tampil sebagai wira The Socceroos apabila membantu Australia menjadi negara ke-31 melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia pada tahun hadapan.
The Socceroos mengesahkan slot ke Piala Dunia selepas menewaskan Hoduras dengan jaringan 3-1.
Perlawanan kelayakkan play-off antara benua ini menampilkan Australia sebagai wakil daripada Asia, manakala Honduras adalah wakil Amerika Tengah (UNCAF).
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam perlawanan play-off pertama yang dilangsungkan di Estadio Olímpico Metropolitano, San Pedro Sula di Honduras pada 4 hari yang lalu.
Perlawanan timbal balik yang baru baru sahaja tamat sebentar tadi diadakan di Sydney, bertempat di Stadium ANZ di hadapan 80,000 penyokong tegar Australia.
Selepas babak pertama perlawanan tamat dengan kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan, pasukan tuan rumah memerlukan inspirasi daripada kapten pasukan, Mile Jedinak untuk memenangi perlawanan.
Jedinak membuka tirai jaringan untuk Australia selepas sepakan percumanya 9 minit selepas separuh masa kedua perlawanan bermula, terbias oleh pertahanan lawan sebelum menewaskan penjaga gol Honduras, Donis Escober untuk Australia berada di hadapan.
Gol tersebut kemudian disahkan sebagai gol sendiri petahanan Honduras, Henry Figueroa.
Minit ke-72 perlawanan Honduras semakin tertekan selepas pemain tengah mereka, Bryan Acosta dipersalahkan kerana memegang bola di dalam kotak penalti, sebelum pengadil menganugerahkan sepakan penalti kepada Australia.
Jedinak yang juga merupakan pemain tengah Aston Villa tidak melakukan kesilapan, menyudahkan penalti dengan satu rembatan deras rendah menuju penjuru kiri gawang Honduras untuk Australia selesa mendahului perlawanan 2-0.
Walaupun mendahului 2-0, penyokong Australia yang hadir ke Stadium ANX tidak senang duduk. Apatah lagi pada 20 tahun yang lalu Australia pernah mendahului Iran dengan jaringan yang sama, sebelum lawan bangkit untuk memadamkan impian mereka ke Piala Dunia.
Kali ini skripnya berbeza buat Australia. Honduras agak lemah dalam aspek disiplin dalam perlawanan ini, dan apabila Robbie Kruse dikasari pada minit ke-85 perlawanan, pengadil tidak teragak-agak untuk menganugerahkan satu lagi sepakan penalti.
Jedinak sekali lagi tampil sebagai wira apabila mudah menolak bola ke bahagian tengah gawang yang kosong selepas mengelirukan penjaga gol Honduras.
Gol ketiga Australia tersebut lantas membuatkan puluhan ribu penyokong Australia di Stadium ANX mulai meraikan kejayaan skuad kebangsaan mereka ke Piala Dunia.
Honduras bagaimanapun berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit akhir perlawanan melalui Albert Elis, namun ia tidak mengugat seluruh Australia untuk meraikan kejayaan pasukan mereka beraksi di Piala Dunia pada tahun hadapan.