Piala Dunia 2018: Apa Yang Anda Perlu Tahu Setakat Ini?

Pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 zon eropah telah pun tamat. Ini bermakna sejumlah 31 pasukan daripada 32 slot keseluruhan telah pun diisi untuk kejohanan bola sepak terulung dunia mengambil tempat di Rusia pada musim panas tahun hadapan.

Seperti kebiasaan, kejohanan Piala Dunia turut akan dirasai kehangatannya di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.

Siapakah yang telah berjaya melayakkan diri? Bilakah undian peringkat kumpulan akan diadakan? Pasukan manakah merupakan pilihan? Dan pasukan manakah yang anda akan sokong?

Artikel ini akan menjelaskan kepada anda sedikit sebanyak apa yang perlu anda tahu mengenai pusingan akhir Piala Dunia 2018.

Negara manakah yang telah melayakkan diri?

Bagi zon eropah, tuan rumah Rusia beserta juara setiap kumpulan pusingan kelayakkan telah melayakkan diri secara automatik.

Negara-negara yang telah menjuarai kumpulan masing-masing ialah Belgium, England, Perancis, Jerman, Iceland, Portugal, Serbia dan juga Sepanyol.

Griezmann dan Pogba

Switzerland, Croatia, Sweden dan Demnark adalah 4 lagi pasukan yang berjaya melepasi halangan pusingan play-of untuk melengkapkan 13 wakil daripada benua eropah.

Benua Afrika pula menyaksikan Mesir, Maghribi, Nigeria, Senegal dan Tunisia melepasi halangan masing-masing untuk ke Rusia, sementara wakil dari Utara dan Amerika Tengah serta Caribbean menyaksikan Costa Rica, Mexico dan Panama mengisi slot masing-masing.

(Photo by Ahmed Awaad/NurPhoto via Getty Images)

Argentina, Brazil, Colombia dan Uruguay turut mengesahkan ke Rusia bagi mewakili benua Amerika Selatan. Manakala Iran, Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi masing-masing telah mengesahkan tempat sebagai wakil Asia.

Terdapat 1 lagi slot ke Piala Dunia 2018 yang akan ditentukan melalui perlawanan yang akan diadakan pada minggu ini.

(Photo credit should read ATTA KENARE/AFP/Getty Images)

Australia baru sahaja mengesahkan ke Piala Dunia sebentar tadi, menyingkirkan cabaran Honduras, manakala pemenang Peru V New Zealand pada jam 10:00 pagi esok akan melengkapkan 32 pasukan yang akan bertanding di Rusia.

Peru dan New Zealand terikat tanpa jaringan dalam perlawanan pertama pusingan kelayakkan play-off.

Apa yang perlu anda tahu mengenai undian Piala Dunia?

Undian untuk pusingan akhir Piala Dunia akan diadakan pada 1 Disember, Jumaat. Undian berkenaan akan diadakan di Dewan Konsert Istana Negeri Kremlin di Moscow.

Undian dijangka akan diadakan pada jam 11:00pm (waktu Malaysia). Belum dapat dipastikan sama ada proses undian akan disiarkan oleh mana-mana syarikat penyiar di Malaysia. Sila ikuti pengumuman oleh syarikat penyiar masing-masing untuk maklumat lanjut.

Sumber: BBC

Pasukan yang telah layak ke Rusia akan dipecahkan mengikut kedudukan ranking FIFA pada Oktober 2017. Pasukan-pasukan tersebut akan dibahagikan kepada 4 balang, masing-masing mengandungi 8 pasukan.

Rusia akan ditempatkan di ‘Balang 1’, bersama-sama dengan 7 lagi pasukan dengan ranking FIFA tertinggi. 8 pasukan seterusnya akan diletakkan di ‘Balang 2’, 8 lagi pasukan di ‘Balang 3’, dan 8 lagi pasukan terendah dalam ranking FIFA akan diundi dari ‘Balang 4’.

Tidak ada lebih dari satu pasukan dari benua yang sama akan diundi bersama dalam satu kumpulan, melainkan pasukan dari benua eropah (UEFA). Untuk ini, maksimum 2 pasukan dari eropah sahaja dibenarkan untuk diundi bersama dalam satu kumpulan.

Siapakah pilihan utama Piala Dunia 2018?

Juara bertahan Jerman semestinya akan terus menjadi pilihan ramai untuk menyerlah dalam kejohanan Piala Dunia 2018. Ini diikuti oleh kuasa besar bola sepak dunia yang lain seperti Brazil, Sepanyol, Argentina, Perancis, Belgium dan juga England.

Jerman akan hadir ke kejohanan ini untuk menjadi negara pertama yang berjaya mempertahankan trofi kejuaraan Piala Dunia untuk dua edisi secara berturut-turut sejak Brazil.

Sebelum ini, Brazil melakukan kejuaraan sedemikian di era Pele pada Piala Dunia 1958 dan juga 1962, tampil sebagai negara terakhir yang bergelar juara dunia dalam 2 edisi secara berturut-turut.

Brazil di bawah bimbingan Tite juga akan hadir untuk membuktikan sesuatu, terutamanya untuk mengekalkan status kuasa bola sepak dunia setelah gagal melakukannya di tempat sendiri pada 4 tahun lalu.

Untuk rekod, Brazil adalah juara CONMEBOL, dan hanya tewas sekali sepanjang 18 perlawanan pusingan kelayakkan untuk ke Rusia.

Negara manakah yang telah tersingkir?

Kejutan terbesar pastinya dari zon eropah setelah Sweden menafikan 4 kali juara dunia, Itali untuk ke Piala Dunia tahun hadapan. Kali terakhir Itali gagal ke Piala Dunia ialah pada 1958. Itu adalah 60 tahun yang lalu.

Belanda juga merupakan satu lagi pasukan kegemaran ramai. Skuad Orange hanya berjaya menduduki tangga ke-3 kumpulan A, berkongsi mata dengan Sweden, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan yang ketara.

(Photo by Alessandro Sabattini/Getty Images)

Dari zon CONCACAF, Amerika Syarikat gagal melayakkan diri sejak 1986. Manakala Afrika turut kehilangan Ivory Coast, Cameroon dan Ghana yang merupakan wakil benua tersebut pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Bagi zon Amerika Selatan, negara yang berada di ranking ke-9 dunia, Chile turut gagal melayakkan diri, juga dipisahkan melalui perbezaan jaringan dengan Peru untuk ke perlawanan play-off.

Siapakah yang menyerlah di pusingan kelayakkan?

Jerman mencatatkan rekod tanpa kalah di pusingan akhir Piala Dunia sejak kali terakhir disingkirkan oleh Sepanyol di peringkat separuh akhir Piala Dunia 2010.

Untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2018, Jerman mencatatkan 10 kemenangan daripada 10 perlawanan, menjaringkan sejumlah 43 gol dan hanya dibolosi dalam 4 perlawanan.

(Photo by Pedro Vilela/Getty Images)

Belgium, Sepanyol dan England turut tidak merekodkan sebarang kekalahan di pusingan kelayakan peringkat kumpulan masing-masing.

Brazil turut melayakkan diri dengan cemerlang dari pusingan kelayakan, namun selepas Tite mengambil alih daripada Tite pada pertengahan kempen kelayakan.

Pada mulanya Brazil hanya merekodkan 1 kemenangan dari 6 perlawanan pertama di bawah kendalian Dunga. Brazil tampil merekodkan 10 kemenangan dan 2 keputusan seri di bawah kendalian Tite selepas itu untuk mengetuai kumpulan kelayakkan CONMEBOL dengan kelebihan 10 mata.

Getty Images

Bagi pusingan kelayakan peringkat benua Asia, Iran cemerlang merekodkan rekod tanpa kalah dalam 18 perlawanan dalam 2 saingan peringkat kumpulan pusingan kelayakan. Mereka turut tidak dibolosi dalam 12 perlawanan secara berturut-turut.

Wakil Afrika, Maghribi turut melayakkan diri tanpa dibolosi dalam 6 perlawanan pusingan kelayakan, sekaligus menafikan Ivory Coast yang berada di dalam kumpulan kelayakan yang sama.

Penampilan pertama di Piala Dunia

Iceland tampil buat kali pertama dan merupakan satu-satunya negara yang mempunyai populasi di bawah 1 juta penduduk pernah beraksi di kejohanan ini.

Kali pertama Iceland layak ke kejohanan utama bola sepak ialah ketika Euro 2016 yang lalu. Mereka berjaya menambat hati peminat dari seluruh dunia dengan keazaman mereka, turut menewaskan England sehingga layak ke peringkat suku akhir.

Panama juga bakal melakukan penampilan pertama mereka di Piala Dunia pada tahun hadapan. Mereka hanya disahkan layak ke Rusia selepas berjaya menewaskan Costa Rica dengan jaringan minit akhir; jaringan yang turut memusnahkan harapan Amerika Syarikat untuk layak ke kejohanan tersebut.

Bagaimana penjualan tiket perlawanan?

Bagi anda yang ingin mendapatkan tiket perlawanan bagi menyaksikan Piala Dunia di Rusia, anda boleh membeli tiket terus daripada FIFA. Anda boleh klik pautan yang kami sediakan.

Namun demikian, anda perlu mengambil tahu beberapa perkara sebelum bercadang untuk mendapatkan tiket perlawanan Piala Dunia.

Sehingga ke hari ini, FIFA telah menerima 3.5 juta permohonan untuk pembelian tiket, termasuk 300,000 penonton yang ingin menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Sumber: FIFA.com

Ketika penjualan kali pertama dibuka pada Oktober yang lalu, sebanyak 622,000 tiket perlawanan meliputi semua peringkat perlawanan telah diperuntukkan. Pembeli tiket akan diundi secara rawak oleh FIFA, sebelum jendela pertama penjualan ditutup.

Penjualan tiket perlawanan kali kedua mulai dibuka pada November ini berdasarkan siapa cepat, dia dapat.

Daripada jumlah keseluruhan tiket perlawanan yang diperuntukkan, 57% daripada jumlah tersebut adalah daripada penduduk dari Rusia sendiri. Terdapat juga tiket yang dijual secara eksklusif khas untuk penduduk yang menetap di negara tuan rumah disediakan.

Bagi rakyat Malaysia dan penduduk negara lain yang bukan berasal dari Rusia, anda boleh mendapatkan tiket perlawanan Piala Dunia dengan harga bermula daripada RM1897.43.

Rumusan

Apa pendapat anda akan harga tiket perlawanan Piala Dunia? Sanggupkah anda mengeluarkan nilai sebegitu jika Malaysia berjaya melayakkan ke Piala Dunia satu hari nanti?

Pasukan mana pula pilihan anda untuk menjuarai Piala Dunia 2018? Kongsikan dengan kami. Berikan sebab anda memberi sokongan kepada pasukan tersebut.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN