Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui kejayaan menundukkan Chelsea pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21, awal pagi esok bakal menjadi tonik yang cukup berguna buat skuad bimbingannya dalam menghadapi detik sukar pada ketika ini.
Arsenal kini mengalami penurunan prestasi yang cukup mendadak apabila sekadar menduduki tangga ke-15 dengan 14 mata hasil empat kemenangan, dua keputusan seri dan lapan kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan.
Selain itu, The Gunners turut kecewa di pentas Piala Carabao apabila mudah diratah juara bertahan, Manchester City 1-4 dalam aksi suku akhir.
Sehubungan dengan itu, Derbi London yang turut menjelma pada ‘Boxing Day’ nanti menjadi tumpuan dalam usaha Arsenal untuk kembali bangkit sekali gus melupakan episod sukar kelab tersebut.
”Pada waktu sekarang, untuk memastikan para pemain bersatu hati, untuk ‘menghidupkan’ kembali pasukan ini dan menjadi satu pasukan, ia memerlukan tenaga yang banyak kerana apabila anda tewas dalam satu-satu perlawanan, anda perlu mengangkat [moral] mereka dan memastikan mereka bersatu.”
”Anda perlu untuk memastikan mereka sentiasa positif, tidak menyalahkan satu sama lain atau faktor luaran apabila sesuatu perkara tidak berjalan dengan baik.”
”Setiap perlawanan, terdapat beban berat yang digalas di bahu anda. Terdapat banyak kekecewaan dan ramai orang terseksa.”
”Kami amat disakiti dan menderita dan kami perlu kembali, mula mempercayai dan cuba menekan pemain, kemudiannya mereka memberikan tindak balas dan teruja untuk beraksi.”
”Ubat yang terbaik, lebih baik daripada apa yang berlaku adalah dengan menang ke atas Chelsea,” ujar Arteta menurut laporan dilaporkan Goal.
Kali terakhir aksi melibatkan kedua-dua pasukan ialah ketika Arsenal menundukkan skuad bimbingan Frank Lampard itu pada perlawanan akhir Piala FA 2019/20.
Kredit featured image: Catherine Ivill/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Mikel Arteta:
Mikel Arteta: Peranan Baharu Kelihatan Sesuai Buat Alexandre Lacazette