Fokus Paul Pogba pada ketika ini disifatkan oleh bekas pemain pertahanan Manchester United, Mikael Silvestre sebagai sudah tidak lagi untuk skuad The Red Devils itu.
Seandainya membicarakan tentang Pogba, pastinya pelbagai spekulasi yang kedengaran mengatakan pemain skuad kebangsaan Perancis itu akan meninggalkan Old Trafford.
Real Madrid menjadi pasukan Eropah yang paling hangat dikaitkan dengan Pogba sejak Manchester United dibimbing oleh Jose Mourinho pada tahun 2018.
”Kita perlu tunggu dan lihat [keputusan masa depan Pogba] tetapi kelihatan fokusnya kini sudah tidak lagi untuk Manchester United.”
”Saya melihat dirinya kelihatan gembira sebelum perintah berkurung [COVID-19], semua orang bersikap seperti biasa dengannya,” ujar Silvestre hasil laporan Goal.
”Dia sebahagian daripada [Manchester] United, jadi sekiranya dia kekal bersama pasukan, ia tidak akan menjadi isu, saya harap kita melihat yang terbaik daripadanya.”
”Dia seharusnya berada di puncak prestasi pada ketika ini dengan usia dan pengalamannya bersama Manchester United dan skuad kebangsaan Perancis.”
”Ia bagus untuk melihat dia beraksi di posisi tengah bersama Bruno Fernandes,” tambah pemenang Piala Dunia 1998 itu lagi.
Mula menyertai Manchester United pada musim 2016/17, pemain berusia 27 tahun itu telah membuat 99 penampilan dan turut berjaya menjaringkan 24 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Dengan kehadiran Bruno Fernandes yang pantas memberikan nafas baharu buat skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer ini, nyata membuatkan para peminat mengimpikan untuk melihat gandingannya bersama Pogba.
Kredit foto: Michael Regan/Getty Images