Baru-baru ini, media tempatan menyiarkan hasrat penyerang import UKM FC, Michael Ijezie Chukwubunna untuk mengikut jejak langkah Mohamadou Sumareh mewakili skuad Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi.
Beliau yang muncul sebagai penjaring terbanyak Piala Cabaran dengan 13 gol musim lalu sudah lama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak tahun 2012 dan mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan yang berasal dari Sarawak.
Menurut Berita Harian, difahamkan beliau semakin hampir mendapat status warganegara Malaysia selepas segala dokumen rasmi yang diperlukan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah pun berada ‘dalam tangan’ badan induk ini.
Pemain yang berusia 30 tahun itu kini hanya perlu menunggu ‘lampu hijau’ daripada FAM serta kelulusan di peringkat kerajaan untuk menjadi pemain naturalisasi kedua skuad Harimau Malaya.
“Buat masa sekarang saya hanya fokus kepada bola sepak dan tidak mahu terlalu memikirkan soal itu. Saya juga mahu baiki kelemahan untuk jadi lebih baik.
“Saya masih tunggu tetapi ianya boleh dikatakan positif. Jika lulus, sudah pasti saya mahu bermain (bersama skuad Harimau Malaya),” katanya.
Ijezie turut berjanji akan bermain bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara jika dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada masa yang akan datang.
“Kalau ada peluang memang saya mahu bermain untuk Malaysia seperti Sumareh. Saya layak kerana sudah lama tinggal di sini dan bermain dalam Liga M. Saya cukup kenal dengan suasana dan budaya negara ini.
“Perasaan main untuk negara amat berbeza kerana ia merupakan satu penghormatan terbesar buat seseorang pemain untuk membawa cabaran negara.
“Begitu juga saya, sudah tentu saya berbangga jika dipilih dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk harumkan nama Malaysia,” katanya dalam Harian Metro
Jika Ijezie mendapat kelulusan daripada kerajaan, ia pasti khabar gembira buat Tan Cheng Hoe untuk membentu barisan yang mantap bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste pada 6 dan 11 Jun ini.