Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pihaknya ketika ini sedang berusaha bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mengkaji dan mencari penyelesaian terbaik untuk meminda peraturan pendaftaran pemain naturalisasi sebagai pemain tempatan.
Menurut Tunku Ismail, baginda sedia membantu untuk memastikan Sumareh boleh bermain dengan skuad Harimau Malaya memandangkan pemain kelahiran Gambia itu telah memiliki kad pengenalan Malaysia secara sah.
“Saya sedia menolong terutamanya tempatan yang mahukan Sumareh bermain sebagai pemain tempatan. Ia juga bagi membolehkan pemain itu bermain untuk pasukan kebangsaan,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
“Sekarang ini, FAM punya kedudukan dan MFL punya kedudukan adalah sama, iaitu kepentingan dan keutamaan adalah kepada pemain tempatan kita. Tetapi FAM sudah membuat kenyataan mengadakan satu pasukan dengan menggunakan pemain naturalisasi.
“Jadi kami sedang mengkaji dan melihat implikasi-implikasi tersebut dan minta satu ‘blueprint’ supaya pemain tersebut bukan saja boleh bermain sebagai pemain tempatan dalam liga, malah juga pasukan kebangsaan kita.
“Memang itu kajian sekarang ini, dan kita tengah tunggu apa laporan yang kita nak buat ke arah perkara itu.” jelas Tunku.
Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingan mengesahkan tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh badan pengendali liga itu.
Beliau berkata, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.
“Kita sudah keluarkan peraturan dan membuat pengumuman mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum ini dan ini bukanlah satu peraturan yang baharu.
“Apapun, jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria ini, sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat apa apa keputusan mengenainya,” ujarnya.
Sumareh yang kini berusia 24 tahun sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian. Selain Pahang, beliau pernah beraksi untuk pasukan PDRM dan Perlis dalam saingan Liga Premier.