“MFL Mengutuk Sekeras-Kerasnya Samseng Bola Sepak” – Stuart Ramalingam

Budaya samseng tidak akan sesekali mendapat tempat dalam suasana bola sepak Liga Malaysia (Liga-M) merupakan kenyataan yang ditegaskan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Stuart Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif MFL menyuarakan rasa kesal dalam diri beliau mengenai insiden pergaduhan yang berlaku baru-baru ini melibatkan sesama penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat lalu.

Beliau menegaskan insiden pergaduhan itu dianggap sebagai tidak bermoral dan bakal memberi kesan buruk dalam industri bola sepak tanah air yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan kelonggaran daripada pihak kerajaan dalam pandemik Covid-19 ini.

“Pertama, saya mewakili MFL ingin merakamkan ucapan simpati kepada mangsa-mangsa dalam insiden pergaduhan selepas aksi Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC yang saya difahamkan ada di antara mereka mengalami kecederaan akibat mercun dan lain-lain di mana sudah jelas ini satu perbuatan yang tidak bermoral.

“Stadium sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk beriadah, bersantai dan menikmati sukan bola sepak, bukannya menjadi satu pusat pergaduhan sesama sendiri.

“Kita tidak mahu disebabkan perbuatan kelompok kecil ini, golongan lain menanggung akibat sekali gus menyukarkan usaha semua pihak dalam industri bola sepak untuk mendapatkan kelonggaran khusus daripada pihak kerajaan.

“Jadi MFL mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng bola sepak ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi pada Sabtu menerusi Sinar Harian.

Susulan insiden tersebut, Stuart juga memaklumkan mengenai diri beliau yang sudah pun berhubung bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City, Stanley Bernard dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih adil.

Dalam masa yang sama, MFL juga masih menunggu laporan penuh mengenai insiden tersebut daripada pihak berkuasa sambil berharap tiada lagi sebarang insiden seperti itu berlaku pada masa hadapan.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Stanley dan Dr Johan di mana mereka sendiri cukup kesal dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan ada yang tercedera disebabkan pergaduhan ini.

“Bukan sahaja Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC tetapi kesemua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia menolak keras budaya samseng di dalam bola sepak kerana itu bukan budaya kita.

“Ini kerana kita semua senada dalam perkara ini dan saya berharap industri bola sepak di negara ini dapat bebas daripada daripada budaya samseng bola sepak.

“Paling mustahak kita mesti memastikan stadium selamat untuk semua peminat dan tidak membiarkan tindakan segelintir itu membahayakan kanak-kanak dan orang dewasa demi keselamatan dan persekitaran yang selesa diperlukan untuk semua penyokong,” ujarnya.

Sumber:
Sinar Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN