Piala AFF 2018: Messi Vietnam Nguyen Cong Thuong Lebih Memukau Berbanding Messi Kedah

Malaysia tumpas 0-2 kepada Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan A, Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium My Dinh, pada Jumaat lalu. Walaupun memiliki hampir 60% penguasaan bola, namun Malaysia tetap gagal mencipta keputusan positif terhadap lawan.

Tumpuan dalam perlawanan malam tadi juga terarah kepada dua pemain yang dititip dengan gelaran ‘Messi’ iaitu Messi Kedah dan Messi Vietnam. Kedua-duanya tersenarai dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya dan juga The Golden Dragon.

Umum mengenali jolokan Messi Kedah diberikan kepada Akhyar Rashid. Jadi, siapa pula Messi Vietnam yang dimaksudkan itu? Dia adalah penjaring gol pertama tuan rumah malam tadi iaitu Nguyen Cong Phuong. Berusia 23 tahun, dia antara ‘generasi emas’ bola sepak Vietnam.

Foto: AFF Suzuki

Sementara Akhyar Rashid pula baharu muncul mengegar arena bola sepak tempatan menerusi aksi baiknya bersama Kedah dan untuk skuad B19, B-23 serta skuad kebangsaan. Ketika beraksi bersama sekolahnya, Akhyar lebih dikenali sebagai Neymar Kedah.

Dalam perlawanan Jumaat lalu, kedua-dua pemain berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan, namun aksi Messi Vietnam dilihat lebih memukau. Dengan meledak gol pertama di awal permainan, Cong Thuong membantu Vietnam membalas dendam.

Pernah gagal pemilihan kelab ternama Vietnam

Tak siapa sangka dia akan membantu negaranya dalam beberapa kejohanan penting ketika ini walaupun pada usianya 11 tahun, Cong Phuong pernah ditolak oleh sebuah kelab ternama di Vietnam kerana berat badan yang terlampau ringan.

Telah meledak 2 gol di Piala AFF ketika ini, karier bola sepak Cong Phuong hampir berakhir apabila ditolak oleh kelab tersebut namun akhirnya dia ditawarkan untuk bermain di sebuah akademi bola sepak yang diuruskan oleh kelab Hoang Anh Gia Lai.

Barangkali rezekinya, akademi yang merupakan kolaborasi antara kelab Liga Premier Inggeris (EPL), Arsenal, sekolah sukan Perancis, Akademi JMG dan kelab Hoang Anh Gia Lai itu berminat untuk mengambilnya-tanpa perlu melalui ujian berat badan.

Foto: Gia Hưng

Untuk ke pemilihan tersebut, Cong Phuong telah dibawa oleh bapanya sejauh lebih 600 kilometer daripada rumah mereka di perkampungan Nghe An ke bandar Pleiku, selepas bapanya melihat satu iklan mengenai pemilihan tersebut di kaca tv.

Disebabkan saiz badannya yang kecil- kini berketinggian 170 cm dan berat badan 66 kilogram, serta kelincahan aksinya di dalam padang telah menyebabkan dirinya dikaitkan dengan bintang sensasi dunia dan kapten Argentina, Lionel Messi.

Wirawan negara biarpun tumbang di final

“Masih sukar untuk percaya yang ianya bukan sebuah mimpi,” ujar pemain yang memakai jersi bernombor 14 itu sambil menyifatkan perjalanan mereka dalam saingan AFC B-23 di China pada Januari lalu itu memberi motivasi dan kebanggaan buat dirinya.

Apabila Cong Phuong dan rakan-rakannya mengesahkan tiket ke pentas akhir kejohanan AFC B-23, seluruh Vietnam bagaikan berpesta. Setiap kemenangan, para penyokong The Golden Dragon meraikannya dengan memenuhi setiap sudut jalan raya.

Biarpun mereka tumbang kepada Uzbekistan di perlawanan akhir, namun keseluruhan pemain di dalam skuad tersebut telah diberikan status wirawan negara oleh para penyokong kerana ia satu kejayaan yang besar buat bola sepak Vietnam.

Foto: Getty Images

Cong Phuong hanya menyumbang satu gol dalam kejohanan tersebut. Penjaring terbanyak buat Vietnam ketika itu Nguyen Quang Hai dengan 5 gol juga berada dalam skuad AFF 2018 dan telah menyumbat 1 gol ketika menewaskan Laos.

Beraksi di Jepun untuk semusim

Cong Phuong juga pernah beraksi di Liga Jepun secara pinjaman bersama-sama kelab Mito Hollyhock, yang ketika itu bersaing di divisyen 2 Liga Jepun (J2 League). Kontrak pinjamannya bersama kelab tersebut adalah untuk tempoh semusim pada 2016.

Dikhabarkan kelab tersebut telah memantau bakat muda Vietnam itu untuk tempoh lebih kurang enam bulan. Selain itu, Mito Hollyhock juga sebenarnya menjadikan Messi Vietnam ini sebagai ‘alat’ untuk meningkatkan populariti dan pendapatan kelab.

Sebagai kelab yang berstatus sederhana di J2, Mito Hollyhock telah merangka satu pelan untuk meningkatkan populariti dan pendapatan kelab. Pelan yang dinamakan Model Mito itu turut menekankan aspek perniagaan dalam bidang pertanian.

Vietnam dijadikan sasaran kerana memiliki penyokong bola sepak yang sangat fanatik serta sebuah negara yang membangun. Kerjasama bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga melibatkan perjanjian memajukan bidang pertanian di Vietnam.

Walaupun Mito Hollyhock berminat untuk kekalkan Cong Phuong semusim lagi, namun disebabkan pemain muda itu jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama, pengerusi kelab Hoang Anh Gia Lai memutuskan untuk tidak menerima tawaran itu.

Bukan Messi!

Mungkin ramai yang mengagak yang penjaring ke-4 terbanyak Liga Vietnam (V.League 1) dengan 11 gol pada musim 2018 itu meminati Messi kerana aksinya di padang saling tak tumpah seperti pemain itu. Namun, menurutnya, Messi bukanlah idolanya.

Produk kelahiran Akademi Arsenal-Hoang Anh Gia Lai itu sangat meminati bola sepak Brazil dan telah menjadikan Coutinho serta Neymar sebagai idolanya dalam sukan bola sepak. Sebelum ini, idolanya adalah penyerang lagenda Brazil, Ronaldo.

Ura-ura tidak tersenarai ke AFF 2018

Sebelum senarai 23 pemain dikeluarkan, ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo menyatakan kepada media yang kedudukan Messi Vietnam dalam skuadnya masih samar. Bagi Hang-seo, tiada seorang pemain pun yang terjamin untuk tersenarai.

Ini menunjukkan yang Hang-seo tidak memikirkan langsung samaada pemain tersebut berstatus bintang atau tidak. Jika prestasi sepanjang latihan dan perlawanan persahabatan menepati kriterianya, pemain tersebut akan dibawa ke Piala AFF.

Sebenarnya prestasi Cong Phuong didapati sedikit menurun dan pada awal musim, dia juga gagal menemui sentuhan jaringan sehingga ke perlawanan kelima liga. Pihak media juga menyatakan yang mungkin gelaran ‘Messi’ itu terlalu berat buatnya.

Foto: AFF Suzuki

Walaubagaimanapun, setakat dua perlawanan di Piala AFF ketika ini, Messi Vietnam ini telah mempamerkan aksi yang baik dan turut menyumbang dua gol buat negaranya. Membantu menumpaskan Malaysia pastinya akan mengembalikan prestasi terbaiknya.

Awal tahun depan, Vietnam akan beraksi di Piala Asia dan majoriti pemain-pemain di Piala AFF ini yang berusia bawah 23 tahun berkemungkinan bakal dibawa Hang-seo ke UAE. Jika Cong Phuong beraksi baik, dia berpeluang beraksi di sana.

Piala Dunia mungkin terlalu jauh buat negara yang kini berkedudukan ke-102 dunia ini, jadi, peluang beraksi di Piala Asia pastinya akan digunakan sebaiknya untuk memberikan para pemain Vietnam merasai aksi perlawanan di tahap tertinggi.

The Golden Dragon semakin meningkat dan Piala Asia adalah peringkat tertinggi untuk mereka setakat ini. Dan jika mereka kekal konsisten beraksi di tahap tertinggi Asia untuk beberapa tahun, layak ke Piala Dunia mungkin tidak mustahil untuk digapai.

‘Messi’ ataupun tidak, bakat pemain ini telah digilap dan diguna dengan baik oleh akademi, kelab dan kini oleh skuad kebangsaan Vietnam. Dia dan rakan-rakannya pasti akan melakukan yang terbaik untuk membawa Vietnam ke peringkat yang lebih baik.

Bagi para pembaca, aksi siapa lebih memukau pada malam tersebut? Messi Kedah ataupun Messi Vietnam?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN