Lionel Messi mengesahkan di akaun Instagram rasmi beliau bahawa pemain Barcelona bersetuju dengan langkah pemotongan gaji sebanyak 70% untuk membantu kelab yang terjejas kewangannya kerana wabak COVID-19.
Dalam mesej sama, Messi turut menyindir pengurusan tertinggi Barcelona kerana ‘cuba memberi tekanan’ kepada pemain.
Media Sepanyol sebelum ini melaporkan pemain Barcelona tidak bersetuju dengan pelan pemotongan gaji yang dicadangkan oleh ahli lembaga pengarah Barcelona selepas liga ditunda akibat penularan wabak COVID-19 di Eropah.
Di sebalik berita ini, penyokong Barcelona percaya berita ini adalah salah satu usaha presiden Josep Maria Bartomeu untuk memberi impresi bagus kepada ahli lembaga pengarahnya dan impresi buruk kepada pemain.
Pertelingkahan antara pemain Barcelona dan pengurusan tertinggi mereka bukan satu rahsia lagi. Bulan lepas, pengarah sukan mereka, Eric Abidal membidas sikap pemain sengaja mensabotaj bekas pengurus, Ernesto Valverde sehingga dipecat.
Dalam temubual bersama akhbar Diario Sport, Abidal mengatakan kebanyakan pemain tidak berpuas hati dan tidak beraksi dengan bersungguh-sungguh dan berlaku masalah komunikasi dalaman.
“Hubungan jurulatih dengan pemain di bilik persalinan baik-baik sahaja tetapi sebagai bekas pemain, saya dapat menghidu ada sesuatu yang tidak kena. Saya telah memaklumkan kepada kelab apa pendapat saya dan kami telah mencapai keputusan [untuk memecat Valverde].”
Messi kemudiannya membalas tuduhan Abidal:
“Apabila kamu bercakap mengenai pemain, kamu harus menamakan pemain tersebut. Jika tidak, ianya sekadar cakap-cakap kosong dan kamu sebenarnya memburukkan kami semua.”
‘Kami memang dah lama setuju nak potong gaji’
Di post Instagram beliau, Messi berkata berita pemain Barcelona tak bersetuju untuk memotong gaji untuk membantu kewangan kelab adalah tidak benar.
“Pertama sekali, kami nak jelaskan bahawa kami memang dah lama berniat untuk memotong gaji yang kami terima kerana kami faham situasi sekarang adalah situasi kecemasan. Kami SENTIASA menjadi orang pertama yang membantu kelab bila diminta.
“Malah dah banyak kali kami bantu kelab atas inisiatif sendiri pada waktu yang kami rasakan penting dan perlu.
Kapten Barcelona itu turut berkata ada cubaan dari pengurusan kelab untuk memburukkan nama pemain.
“Kami terkejut apabila ada orang dalam kelab yang cuba beri tekanan dan burukkan kami di media untuk buat benda yang memang dah lama kami setuju nak buat.
“Punca kami lambat setuju [potong gaji] adalah kerana kami tengah cari formula untuk bantu kelab dan staf lain pada waktu sukar ini.
“Selain potongan gaji sebanyak 70%, kami juga nak umumkan memandangkan masanya dah tiba, bahawa kami juga akan membuat sumbangan supaya staf kelab boleh menerima 100% gaji mereka dalam situasi sekarang.
“Punca kami senyap sampai sekarang adalah kerana kami sentiasa mengutamakan pencarian jalan penyelesaian terbaik dahulu.”
Mesej terbaru dari Messi ini pastinya akan membuatkan Bartomeu panas punggung. Satu perkara yang pasti, tiada siapa pun penyokong Barcelona akan menyokong Bartomeu selepas ini – kecuali jika Messi memaafkannya.