Gotoku Sakai Pemain J.League Pertama Positif Coronavirus

Pemain pertahanan Jepun, Gotoku Sakai telah disahkan positif coronavirus (COVID-19) menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelabnya, Vissel Kobe pada Isnin yang menjadikan beliau pemain Liga Jepun (J.League) pertama yang dijangkiti wabak tersebut.

Pemain yang telah mengumpul 42 kaps bersama skuad kebangsaan Jepun itu dilaporkan mengalami demam panas sejak Rabu dan hasil diagnosis pada hari berikutnya mendapati terdapat jangkitan pada saluran pernafasannya.

Dalam kenyataan itu juga menjelaskan tiada pemain-pemain lain di dalam skuad itu yang mengalami sebarang gejala termasuk pemenang juara Piala Dunia, Andres Iniesta.

“Sekarang ini, tiada pemain atau staf yang mempunyai sebarang gejala dijangkiti penyakit coronavirus, melainkan hanya Gotoku Sakai,” kata Vissel Kobe dalam kenyataannya.

“Dalam komunikasi kami dengan pusat kesihatan awam, kami sedang mengenal pasti mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pemain tersebut (Sakai) dan kami akan membuat proses pembersihan di pusat latihan Ibuki.”

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai Kobe dari kelab Jerman, Hamburg pada musim lepas.

Seperti juga kebanyakan liga di seluruh dunia, J-League kini juga sedang digantung sejak penghujung Februari berikutan pandemik COVID-19 yang semakin serius.

Sakai turut beraksi dalam kesebelasan utama ketika Kobe menewaskan JDT 5-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada Februari lepas.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Vissel Kobe dan J.League:

Leave a Reply