Lionel Messi telah memberikan ucapan penuh motivasi kepada rakan sepasukan di dalam skuad Argentina setelah pasukan itu dibelasah 6-1 oleh Sepanyol di Madrid.
Kecederaan menyebabkan Messi tidak dapat beraksi dalam perlawanan itu, dan kelibat pemain terebut dilihat meninggalkan tempat duduk penonton di Stadium Wanda Metropolitano walaupun perlawanan masih berbaki 13 minit.
Menurut La Nacion, kapten Argentina tersebut terus menuju ke bilik persalinan sambil menunggu rakan sepasukan yang lain untuk menyampaikan ucapannya.
Di dalam bilik persalinan tersebut, Messi dikatakan berkata:
“Angkatlah kepala kalian. Kita akan mengharungi detik sukar ini bersama. Bersatulah.”
Ucapan oleh pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu dikatakan diterima baik oleh rakan sepasukan yang lain.
Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli turut memuji komitmen Messi kepada pasukan kebangsaan negara tersebut dalam temuramah yang diadakan selepas perlawanan. Sampaoli mendedahkan kapten Argentina itu telah memberikan dorongan kepada rakan sepasukan yang lain di waktu rehat selesai babak pertama perlawanan.
Sebelum ini Messi pernah dikritik oleh legenda bola sepak negara tersebut, Diego Maradona kerana kekurangan karisma dan personaliti untuk menjadi seorang pemimpin di atas padang.
Namun demikian, ramai pemain di dalam skuad tersebut tampil memuji sifat kepimpinan milik bintang Barcelona itu.
Argentina telah tewas tiga perlawanan akhir di tiga kejohanan utama di dalam tempoh tiga tahun sejak Piala Dunia 2014.
Mereka juga memerlukan perlawanan terakhir peringkat kelayakkan dengan jaringan hatrik daripada Messi ketika menewaskan Ecuador 3-1, sebelum disahkan layak ke Rusia.