Lionel Messi tidak menganggap Barcelona mempunyai peluang untuk muncul juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim ini.
Kali terakhir pemain berusia 32 tahun itu meraih kejuaraan pertandingan elit eropah itu ialah pada musim 2014/15, dan sejak itu Messi sentiasa bertekad membawa balik trofi kebanggaan dunia bola sepak eropah itu.
Musim lalu Barcelona mengakhiri saingan di pertandingan ini dengan cara memalukan apabila ditewaskan Liverpool di Anfield.
Kali ini Messi bertanggapan Liverpool masih lagi saah sebuah pasukan pilihan walaupun tewas 1-0 kepada Atletico Madrid ada awal pagi Rabu lalu.
Tiada Barcelona di dalam senarai oleh Messi pada kali ini. Selain kelab Merseyside tersebut, tiga lagi kelab yang dilihat oleh Messi mampu bergelar juara pada musim ini adalah Juventus, Paris Saint-Germain (PSG), dan Real Madrid.
“Semua [pasukan] amat rumit dan sukar [diramal],” ujar Messi kepada akhbar Mundo Deportivo.
“Paris [PSG] beraksi menentang Dortmund dan kalah, Liverpool pergi ke Atletick dan kalah. Bagaimanapun di sebalik semua itu, Liverpool, Juventus, Paris dan Madrid masih pasukan terkuat pada musim ini.”
Liverpool tewas kepada Atletico tanpa melakukan sebarang percubaan tepat sepanjang 90 minit perlawanan, selepas jaringan awal yang dihasilkan oleh Saul Niguez.
Walaupun Barcelona pernah diaibkan Liverpool, Messi tidak terkejut dengan keputusan tersebut kerana baginya pusingan kalah mati di peringkat ini sentiasa memberi cabaran yang sukar.
“Pada hari undian, kami berbincang di bilik persalinan dan berpendapat perlawanan itu akan sengit. Ini kerana Atletico memberikan saingan serius dalam pertandingan ini,” jelas Messi lagi.
“Untuk perlawanan kalah mati yang diadakan secara timbal balik, Atletico adalah pasukan yang amat kuat dan telah membuktikan mereka berada di pertandingan ini untuk memberikan tentangan sehabis mungkin.
Barcelona pula akan menentang Napoli pada minggu hadapan di pertandingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Bagi Messi Barcelona telah menampilkan prestasi tidak konsisten di La Liga dan dilanda pelbagai masalah sejak Januari lalu.
“Semua orang akan rasa gementar. Tetapi itu normal kerana apa yang telah berlaku dan lalui baru-baru ini. Secara berpasukan kami turut tidak menampilkan aksi yang cukup baik.
“Kedudukan liga sentiasa berubah. Kami tidak konsisten, begitu juga Madrid. Banyak mata telah hilang, namun kami yakin akan pulih.
“Di UCL kami perlu melakukan penambahbaikan yang besar. Keadaan kami [Barcelona] sekarang tidak cukup bagus untuk menjuarai pertandingan ini.
“Kami harus lebih konsisten dalam permainan, dan mulai mempraktikkan apa yang telah dirancang bersama pengurus [Quique Setien] secepat mungkin.
“Kami harus lebih bertanggungjawab dan tidak melakukan kesilapan mudah.
“Sejak Januari satu per satu masalah datang. Kami perlu bertenang, untuk membenarkan kami berfikir secara bebas mengenai bola sepak.”