Penyerahan RM18 Juta Kepada 24 Pasukan Liga M Perkembangan Baik Buat Bola Sepak Malaysia

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah mengumumkan pengagihan pemberian dana sebanyak RM18 juta yang diagihkan kepada 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) dengan RM1 juta diserahkan kepada 12 pasukan Liga Super dan RM500,000 buat 12 pasukan Liga Perdana musim ini.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan selepas diluluskan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-20.

“Berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada rakan kongsi liga ditentukan ahli lembaga pengarah jika pendapatan penajaan kurang atau melebihi RM18 juta.

“Semua rakan kongsi liga sedia maklum mengenai agihan menerusi taklimat yang kami adakan hari ini (semalam) bagi menjelaskan mengenai pendapatan serta perbelanjaan operasi MFL musim ini.

“Sebagai rakan kongsi liga, mereka faham agihan diterima berdasarkan pendapatan MFL tahun ini dan mengikut kontrak perjanjian bersama rakan kongsi liga,” kata Ghani.

Pimpinan baharu FAM dan MFL yang diterajui oleh Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini berjaya mendapatkan dua penaja utama Liga M pada musim ini.

Ianya ternyata satu perkembangan positif buat bola sepak Malaysia selepas musim lepas berlaku perselisihan sehingga menyebabkan penaja utama telah menarik diri sehingga pihak MFL tidak dapat membayar baki geran pada penghujung musim.

Telekom Malaysia (TM) akan menjadi penyiar rasmi dan penaja utama Piala Malaysia. Satu lagi penaja, CIMB Group Holdings Berhad akan menjadi penaja utama bagi saingan Liga Super dan Piala Sumbangsih. CIMB Bank Berhad pula muncul sebagai bank rasmi bagi semua jenis kejohanan dalam saingan Liga  M.

Sekalipun nilai tajaan tidak didedahkan secara rasmi, sumber tertentu mengatakan TM bersetuju memberi tajaan selama tiga tahun dengan nilai RM30 juta manakala CIMB dengan RM10 juta bagi dua musim.

Menurut Ghani, agihan pendapatan kepada semua rakan kongsi Liga M musim 2020 itu akan diserahkan bermula minggu hadapan dan beliau berharap pemberian tersebut sedikit sebanyak dapat membantu kewangan pasukan.

“Kami juga membuat keputusan menyerahkan agihan dana pendapatan bagi musim 2021 kepada rakan kongsi liga pada hujung musim 2021 selaras agihan dana tajaan daripada TM kepada MFL yang dibuat TM dalam dua peringkat iaitu pada awal Januari 2021 dan awal Jun 2021 seperti tercatat dalam perjanjian tajaan.

“Ini bagi memastikan MFL menyerahkan agihan pendapatan tahunan selepas mengambil kira keseluruhan tajaan dan kos pengurusan. Apa yang ingin dilaksanakan MFL juga amalan pengurusan liga luar negara seperti di Liga Perdana Inggeris (EPL), LaLiga (Sepanyol) dan JLeague (Jepun),” katanya.

Kredit Foto: MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN