Musim 2021 pastinya menjadi tahun yang ingin dilupakan oleh David da Silva selepas keberadaannya bersama Terengganu kurang menghasilkan impak yang diharapkan.
Kehadirannya bersama skuad Penyu sebenarnya berbekalkan reputasi selaku penyerang berbisa di Liga 1 Indonesia di mana beliau mampu mencetak 20 gol dalam 25 perlawanan bersama Persebaya Surabaya pada 2018 dan kemudian turut menghasilkan 15 gol dari 19 perlawanan pada musim berikutnya.
Namun semusim di Liga Malaysia, penyerang import dari Brazil itu hanya mampu mencetak tujuh gol sahaja dalam saingan Liga Super dan sekadar satu gol dalam kempen Piala Malaysia.
Lebih memburukkan keadaan, penyokong Terengganu seolah-olah begitu ‘benci’ melihat kelibatnya di atas padang bersama skuad utama dan lebih menggemari seorang lagi penyerang import iaitu Jordan Mintah yang diletakkan bersama Terengganu II.
Ini Adalah ‘Pentas’ Jordan Mintah Bukan David Da Silva, Tegas Nafuzi Zain
Namun untuk tahun 2022 ini, David da Silva telah kembali ‘merumput’ di Liga Indonesia apabila menjadikan Persib Bandung sebagai destinasi terbaharunya dengan mengikat kontrak selama dua tahun.
Dalam temubualnya bersama bola.com, penyerang berusia 32 tahun ini mengakui beliau sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik buat skaud Maung Bandung itu untuk baki musim 2021/22 ini.
Meskipun mempunyai kenangan atau nostalgia bersama Persebaya, namun beliau menegaskan faktor itu tidak akan menghalangnya untuk menjaringkan gol berdepan dengan bekas pasukannya itu.
“Saya memang mempunyai beberapa rakan di Persebaya. Ia adalah pasukan yang pernah saya wakili dalam tempoh yang cukup lama. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka,” ujarnya yang bakal menyarung jersi nombor 25 pada musim ini.
“Tetapi sekarang ini saya akan menjadi lawan mereka, kerana akan berdepan dengan mereka dalam pertandingan ini. Tapi saya rasa mereka juga mempunyai skuad yang bagus untuk menentang kami.
David da Silva selalu cetak gol di setiap debutnya bersama Persebaya. Ada yang ingat klub mana yang gawangnya dibobol DDS musim lalu? pic.twitter.com/WGgXNJg2Vv
— EMOSIJIWAKU.COM (@emosijiwakucom) August 31, 2019
“Jadi saya juga tentu akan melakukan yang terbaik untuk berusaha menjaringkan gol dan mendapatkan tiga mata dari Persebaya.”
Berdasarkan kedudukan semasa Liga 1 Indonesia ketika ini, Persib Bandung kini di kedudukan kedua dengan tiga mata di belakang pendahulu Bhayangkara selepas 17 perlawanan.
Ia merupakan peluang terbaik untuk mereka kembali menjulang kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada musim 2014.