Ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt mengakui kecewa apabila pasukannya dibolosi pada minit-minit akhir ketika pasukannya seri 2-2 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2021 di Stadium Perak.
Bagaimanapun beliau tetap merasa lega dengan keputusan tersebut selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut ketika berdepan Terengganu dan Kuala Lumpur City sebelum ini.
Menuruy Yee Fat, Perak sememangnya memerlukan kemenangan bagi memulihkan kembali semangat pemain selepas dihimpit prestasi kurang konsisten di awal musim.
Namun satu mata yang diraih semalam dilihat sudah cukup bermakna selain berjaya untuk memberi tentangan sengit kepada juara bertahan tersebut sebelum dikecewakan dengan sepakan penalti Leandro Velazquez pada masa kecederaan.
“Sememangnya kecewa apabila kita tidak dapat tiga mata penuh, tetapi kalau nak ikutkan satu mata pun sudah buat kita gembira, khususnya apabila melihat cara pemain beraksi, mereka memang pamerkan semangat ingin menang yang tinggi,” ujar Yee Fat kepada Media MFL.
“Saya tetap berbangga dengan mereka kerana beberapa perlawanan sebelum ini aksi mereka tidak konsisten dan sebelum aksi semalam.
“Kami ada bercakap dari hati ke hati bagaimana kita tidak boleh lagi tercicir mata dan satu mata ini diharapkan cukup untuk memberi motivasi lagi kepada mereka bagi perlawanan akan datang.
Bekas pemain Perak era 80-an itu juga memuji persembahan penyerangnya Guilherme De Paula yang akhirnya memberi sesuatu kepada pasukan dengan menamatkan kemarau jaringannya pada musim ini.
“Saya ada beritahu dia untuk tidak terus kecewa dengan aksi-aksi terdahulu, dia perlu menikmati setiap perlawanan akan datang dan itu yang dia lakukan untuk kami semalam”, katanya lagi.
Jelas Yee Fatt, beliau memahami tekanan yang dihadapi pemain dalam misi memburu kemenangan, tetapi komitmen yang cukup tinggi dipamerkan di Stadium Perak membuktikan betapa pasukan enggan lagi tersungkur buat kali ketiga apatah lagi ketika berdepan skuad yang kini masih gah di takhta liga.
Aksi Liga Malaysia (Liga-M) akan berehat sebentar untuk memberi laluan kepada kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dijalankan di Padang Latihan Seri Gelam, Johor Bahru bermula hari ini.
Kredit Foto: Perak FC
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan Perak FC:
Liga Super: Penalti Selamatkan Maruah JDT, Ikat Perak Di Ipoh
De Paula Ada Rekod Impresif Berdepan Terengganu, Perak ‘Tambah’ Yakin
Penyokong Perak Mengamuk, Tuduh ADUN Bota Salah Guna Kedudukan Beri Diskaun Jersi Kepada Pengundi