Kem Mesir mengesahkan Mohamed Salah sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan perlawanan untuk berhadapan Rusia pada Selasa hadapan.
Salah merupakan pemain simpanan yang tidak digunakan ketika Mesir tewas 1-0 kepada Uruguay pada Khamis lalu.
Namun kini Mesir FA (EFA) sudah mengesahkan penyerang sayap berusia 25 tahun itu sudah cergas sepenuhnya untuk dua lagi baki saingan peringkat kumpulan.
Salah mengalami kecederaan bahu ketika perlawanan akhir UEFA Champions League pada 26 Mei lalu selepas perebutan bola dengan kapten Real Madrid, Sergio Ramos.
“Sebenarnya Salah sudah cergas semasa perlawanan menentang Uruguay, namun jurulatih masih enggan mengambil risiko,” ujar kenyataan oleh EFA.
Tanpa Salah, aksi Mesir kelihatan tidak kemas terutama di bahagian akhir serangan.
Mesir yang beraksi tanpa Salah yang memiliki 44 gol pada musim pertama bersama Liverpool kelihatan berada di landasan terbaik untuk memburu mata pertama sebelum dikecewakan oleh jaringan minit akhir Jose Gimenez.
Dan selepas perlawanan, jurulatih Mesir, Hector Cuper berkata:
“Mo Salah adalah pemain yang sangat penting untuk kami. Tiada sesiapa boleh menafikan itu. Tetapi bola sepak juga memerlukan sebuah pasukan yang bagus, dan kami juga memiliki pasukan itu.
“Mungkin jika Salah beraksi pada hari ini [Khamis], Mesir akan memperolehi keputusan yang berbeza. Kita tidak tahu itu.”
“Sudah pasti Salah akan memberikan sumbangan kepada pasukan dan akan berbuat demikian dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.”
“Kami mahu mengelakkan risiko di dalam perlawanan ini. Tetapi saya berpendapat Salah akan bersedia untuk perlawanan seterusnya.”
EFA turut mengesahkan pemain tengah, Tarek Hamed juga akan cergas untuk berhadapan Rusia selepas terpaksa ditukarkan di dalam perlawanan menentang Uruguay akibat kecederaan belakang.