Mesej Yang Perlu Dirai Red Giants Di Sebalik Jersi ‘Legasi SuperMokh’

Selangor FC baharu sahaja melancarkan jersi ‘Home’ untuk musim 2021 baru-baru ini. Bertemakan jersi retro yang digunapakai di perlawanan akhir Piala Malaysia 1986, ‘Legasi Mokhtar Dahari’ yang terdapat pada jersi tersebut turut mendapat perhatian ramai.

Pada hari pertama pelancaran, Selangor FC dilaporkan berjaya menjual 2,500 helai jersi tersebut kepada penyokong mereka. Tambahan 1,600 helai yang dijual pada Khamis (semalam) turut habis.

Menariknya 4,100 helai jersi tersebut habis dalam tempoh satu hari melalui penjualan online sahaja. Bayangkan jika negara tidak dilanda pandemik, dan tiada sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah pasti jumlah helaian yang dijual adalah lebih banyak.

Nyata penangan ‘SuperMokh’ pada jersi tersebut memberi impak tersendiri pada penjualan jersi Selangor pada musim ini. Menurut sumber Selangor FC, jersi rekaan pada 1986 itu hanya disarung sekali sahaja, iaitu pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1986 sahaja.

Penyokong Selangor yang masih berminat untuk mendapatkan jersi musim 2021 ini kini perlu menunggu sehingga Mei hadapan untuk mendapatkan helaian masing-masing.

Kami percaya Selangor FC mempunyai sebab tersendiri untuk memilih jersi khas 1986 dan legasi SuperMokh sebagai  tema jersi pada musim ini. Karakter pemain legenda itu misalnya, sudah cukup luar biasa untuk menjadi ikutan. Sekurang-kurangnya itulah semangat yang mahu dipaparkan oleh Selangor FC pada musim baharu ini.

Jersi ini juga mengingatan kami mengenai perkongsian bekas jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal yang pernah beraksi bersama SuperMokh.

SuperMokh legenda Selangor

Di peringkat domestik, Mokhtar Dahari telah memenangi 10 kejuaraan Piala Malaysia. Ia adalah kejohanan domestik paling agung pada era tersebut.

Anak kelahiran Setapak ini turut pernah membawa pasukan negara muncul juara Piala Pestabola Merdeka sebanyak 4 kali, dan pingat emas Sukan SEA dalam dua edisi temasya tersebut.

Hakikatnya tidak ramai di kalangan kita pada hari ini yang sempat menyaksikan kelibat Mokhtar Dahari di hadapan mata.

Apatah lagi untuk beraksi bersama Mokhtar Dahari di dalam satu pasukan, atau menjadi striker partner kepada beliau.

Kenangan K. Rajagobal

Antara mereka yang bertuah berkesempatan beraksi bersama Mokhtar Dahari ketika hayatnya ialah bekas jurulatih pasukan negara, Datuk K. Rajagobal yang kini adalah Ketua Jurulatih Brunei Darulsalam.

Kisahnya bermula ketika K. Rajagobal menyertai PKNS pada 1978. K. Rajagobal pada ketika itu masih lagi seorang pemain muda berusia sekitar 21 atau 22 tahun.

Mokhtar Dahari pula adalah pemain bintang Selangor dan negara, telah merangkul lima kejuaraan Piala Malaysia termasuk yang diraih pada 1978.

Di peringkat antarabangsa, Mokhtar Dahari turut membantu pasukan negara memenangi pingat gangsa di Sukan Asia yang berlangsung di Tehran 4 tahun sebelum itu.

Dari sini kita boleh bayangkan bagaimana gemuruhnya seorang pemain muda menjalani latihan dan beraksi bersama seorang pemain yang dianggap sudah established dan digelar hero negara.

Karakter rendah diri

Antara karakter luar biasa Mokhtar Dahari menyebabkan beliau disenangi oleh rakan sepasukan yang lain ialah sifat rendah diri yang beliau milik.

Berdasarkan pengalaman bersama allayarham, K. Rajagopal menyifatkan Mokhtar Dahari sebagai seorang pemain yang memiliki personaliti rendah diri dan sentiasa memberikan sokongan kepada mereka di sekelilingnya.

“Saya menyertai PKNS FC buat pertama kali pada 1978. Ketika latihan, beliau [Mokhar Dahari] amat merendahkan diri dan sentiasa memberikan sokongan 100%,” kata bekas jurulatih melalui ciapan di Twitternya semalam.

“Saya masih ingat kata-kata yang beliau katakan kepada saya [ketika beraksi]. ‘Jangan takut, main seperti biasa seperti awak biasa main dengan Cholan Youth (kelab terdahulu Rajagobal).”

Sepertimana Mokhtar Dahari, Datuk K. Rajagobal kemudiannya turut pernah beraksi bersama Selangor dan mempunyai 20 caps bersama pasukan negara sepanjang tempoh 20 tahun karier sebagai pemain.

Nostalgia Piala Malaysia 86′

Mokhtar Dahari mungkin tidak menjaringkan gol dalam perlawanan akhir ini. Tetapi aksi cemerlang SuperMokh dalam perlawanan ini tidak boleh dinafikan.

Malah sepanjang perlawanan, rakan-rakan sepasukan yang lain dikatakan berusaha untuk menghantar bola kepada Mokhtar Dahari untuk menjaringkan gol, namun gagal berbuat demikian.

Walaupun sedikit terkilan, apa yang paling penting buat legenda bola sepak tanah air itu adalah kemenangan buat Selangor, berbanding dengan pencapaian peribadi.

Kredit: Chedinsphere.blogspot.my

“Saya berlari, mengejar dan mencurahkan segala-galanya dan akhirnya menjulang Piala Malaysia. Tetapi saya merasa sedih kerana gagal menjaringkan gol dalam perlawanan akhir itu,” ujar SuperMokh selepas perlawanan tersebut.

Mokhtar Dahari turut mengumumkan pengundurannya daripada pasukan Selangor selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 1986 itu.

“Saya akan merindui saat-saat ini. Suasana perlawanan akhir Piala Malaysia. Kemanisan sewaktu meraikan kejayaan; seterusnya menaiki ‘Royal Box’ untuk menerima pingat.”

“16 tahun di Piala Malaysia, 11 kali menjadi juara dan dan 2 kali naib juara. Alangkah bagusnya jika saya dapat menambah rekod Piala Malaysia saya ini,” tambah SuperMokh lagi.

Penutup

Apa pula kenangan anda mengenai Mokhtar Dahari? Masihkah anda ingat sedutan filem Mekanik pada 1983 ini?

Benar. Klip di bawah mungkin hanya lakonan semata-mata. Tetapi seperti kita semua, Mokhtar Dahari juga adalah insan biasa yang bekerja keras untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Tiada jalan mudah, hanya kerja keras.

Dalam setiap perkara yang dilakukan, lakukan dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kerendahan hati. Hakikatnya pengertian di sebalik legasi yang ditinggalkan oleh Mokhtar Dahari amat besar nilainya untuk generasi baharu Selangor pada hari ini.

Perginya Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat bola sepak Selangor dan negara. Nama Mokhtar Dahari akan terus kita kenang sebagai pemain bola sepak terhebat pernah dilahirkan negara.

Selayaknya Allahyarham Mokhtar Dahari dikenang sebagai seorang negarawan sejati.

“If you’re ashamed to stand by your colours, you better seek for another flag.” – Mokhtar Dahari

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN