Merungkai 4 Kriteria Pemilihan Venue Piala AFF 2022, Kenapa SNBJ Atasi SSI Dan SSMZA?

Piala AFF Stadium SNBJ SMMZA SSI

Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memilih Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 agak mengejutkan.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung badan induk bola sepak negara itu sendiri, Noor Azman Rahman mengenai pemilihan empat venue alternatif ekoran kepadatan jadual di stadium terbesar negara itu pada hujung tahun dengan pelbagai acara.

Pengumuman tersebut disambut baik oleh beberapa pihak kerana ia akan memberi peluang kepada para peminat yang jauh dari ibu kota Kuala Lumpur untuk menonton aksi skuad kebangsaan Malaysia di hadapan mata.

Antara lokasi yang dipertimbangkan adalah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Stadium Hang Jebat, Melaka, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu dan Stadium Sultan Ibrahim, Iskadar Puteri.

FAM Senarai 4 Venue Alternatif Piala AFF 2022 Selain Bukit Jalil, Stadium Manakah Pilihan Terbaik?

Bagaimanapun keputusan akhir menyaksikan SNBJ selaku ‘Home of Harimau Malaya’ kekal sebagai venue untuk perlawanan-perlawanan di tempat sendiri bagi pertandingan dwi-tahunan tersebut.

Maka dengan serta merta, hilanglah keterujaan peminat bola sepak tanah air untuk menyaksikan aksi skuad kebangsaan dibawa ke wilayah-wilayah lain. Sebaliknya buat masa ini ia akan berterusan berpusat di Lembah Klang.

Namun untuk memahami keputusan FAM ini, mungkin beberapa kriteria boleh digariskan bagi merungkai persoalan mengapa SNBJ tetap menjadi pilihan.

Keadaan Padang

Seperti yang diketahui, keadaan padang merupakan faktor penting yang perlu diambil kira, apatah lagi apabila ia melibatkan penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa dan amat penting bagi menjaga imej negara di mata dunia.

Semua pihak masih segar dengan ‘episod hitam’ yang menyaksikan padang SNBJ menjadi ‘bendang’ beberapa bulan lalu ketika aksi menentang Bahrain dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Meskipun stadium tersebut sepatutnya mempunyai sistem perparitan di bawah padang, namun dek kerana hujan lebat yang turun sejak petang, membuatkan permukaan padang dibanjiri dengan air yang tidak surut.

Ia memaksa beberapa pekerja bertungkus lumus melakukan pelbagai cara dan kaedah ‘kuno’ untuk mengurangkan takungan air termasuk menggunakan penyodok dan kadbod.

Bagaimanapun pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dilihat telah mengambil iktibar dan belajar dari kesilapan yang berlaku.

Sebelum sepak mula perlawanan akhir Piala FA tempoh hari, keseluruhan permukaan padang SNBJ telah pun dilitupi dengan kanvas bagi mengelak kejadian yang sama berulang, seterusnya memastikan perlawanan berlangsung dengan baik dan lancar.

Walaupun diakui padang dan rumput di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) adalah lebih baik kualitinya, namun dengan kaedah yang disebut di atas sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan kualiti pada di SNBJ.

‘9 Lapisan Dan Batu Gunung Berapi’ – Teknologi Yang Menjamin Padang Stadium Sultan Ibrahim Takkan Jadi ‘Bendang’

Cuaca

Ini juga merupakan salah satu kriteria yang diambil kira untuk membuat pemilihan.

SSMZA merupakan salah satu venue yang dipertimbangkan disebabkan reputasinya yang merupakan salah satu stadium yang mempunyai padang terbaik di negara ini.

Bagaimanapun faktor cuaca menjadi telah penghalang utama kepada pemilihannya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa episod hujan akan berterusan bermula November ini hingga Mac tahun depan berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

Berdasarkan maklumat dan data yang dikumpul, beberapa siri hujan lebat yang menyeluruh dijangka berlaku untuk beberapa hari terutama di negeri-negeri pantai timur semenanjung.

Meskipun SSMZA mempunyai kualiti pada yang baik dan mampu untuk melangsungkan perlawanan dalam keadaan hujan lebat, keadaan stadium yang tidak berbumbung mungkin akan memberi kesan kepada kehadiran penyokong.

Malah sekitar Jun lalu, ketika perlawanan Terengganu menentang Negeri Sembilan, salah satu kawasan penyokong lawan didapati telah ditakungi air sehingga ke paras peha dan dianggap sebagai ‘perkara biasa’ oleh pihak pengurusan stadium.

Kapasiti

Bagi sesetengah pihak, mungkin kapasiti 40,000 atau 50,000 ribu tempat duduk adalah lebih daripada mencukupi. Tetapi seperti yang kita maklum, secara tipikalnya rakyat Malaysia ini cukup terkenal dengan ‘bangsa final’.

Mungkin isu tidak timbul ketika aksi peringkat kumpulan. Tetapi seandainya Malaysia mara ke perlawanan akhir, stadium dengan kapasiti 200,000 ribu tempat duduk sekalipun mungkin tidak cukup untuk menampung permintaan golongan ini.

Ia tidak termasuk sejumlah tiket yang ‘disapu’ oleh golongan tertentu terutamanya para politikus dan elitis untuk diagihkan kepada ‘orang kampung’ atau kumpulan tertentu sehingga menafikan peluang penyokong-penyokong tegar yang lain.

Oleh yang demikian, tiada keraguan lagi mengapa FAM menjadikan SNBJ yang mempunyai kapasiti 87,000 tempat duduk sebagai pilihan utama untuk memastikan ‘aura’ penyokong mampu dijelmakan semasa perlawanan nanti.

Lokasi dan logistik

Akhirnya, kriteria inilah yang menjadi penghalang utama mengapa skuad kebangsaan tidak dapat beraksi di venue selain SNBJ iaitu perihal lokasi dan logistik.

Lokasi yang terletak jauh dari Lembah Klang memerlukan delegasi skuad Harimau Malaya menambah masa perjalanan mereka terutamanya di lapangan terbang memandangkan terdapat perlawanan yang akan berlangsung di tempat lawan.

Sebagai contoh, selepas menghadapi perlawanan pertama peringkat kumpulan berdepan Myanmar di Yangon pada 21 Disember, skuad kebangsaan perlu bersedia untuk aksi kedua di laman sendiri pada 24 Disember.

Ini bermaksud, hanya tiga hari sahaja jangka waktu yang diperuntukkan untuk melakukan perjalanan pulang, berehat dan kemudian menjalani latihan bagi persediaan untuk perlawanan seterusnya.

Maka adalah tidak efektif untuk menambah masa perjalanan rombongan skuad negara di mana mereka perlu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlebih dahulu sebelum menyambung perjalanan ke lokasi seterusnya seperti Kuala Terengganu atau Johor Bharu misalnya.

Kemudian selepas perlawanan di laman sendiri pada 24 Disember, aksi seterusnya adalah menentang Vietnam di Hanoi tiga hari kemudian. Secara jelas pemilihan venue pertandingan di luar Lembah Klang akan menyukarkan pergerakan skuad negara dan seterusnya memberi kesan kepada waktu rehat pemain.

Kesimpulan

Maka jelas di sini bahawa empat kriteria di atas menjadi sebab mengapa SNBJ menjadi pilihan utama berbanding stadium-stadium lain untuk venue kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric pada tahun ini.

Mungkin FAM pada awalnya berhasrat untuk membuat pembaharuan, tetapi ia nampaknya tidak bersesuaian untuk dilaksanakan atas faktor jadual yang agak padat dan beberapa sebab lain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN