Merlion Cup: Haqimi Azim & Najmudin Akmal Nafas Baharu Penyerang Masa Depan Negara

Saingan Merlion Cup secara rasminya sudah pun menutup tirai semalam, dengan Malaysia bawah 22 (B-22) mengesahkan diri mereka selaku juara pada tahun ini untuk menewaskan Hong Kong.

Menerusi kemenangan 2-1, Malaysia tampil dengan aksi permainan yang cukup baik untuk mengatasi pasukan lawan yang serba serbi tidak begitu menjadi di segenap posisi.

Dua jaringan Malaysia masing-masing dihasilkan menerusi Najmudin Akmal serta Safwan Mazlan selain satu gol saguhati Hong Kong dilakar oleh Lau Ka Kiu di separuh masa kedua.

Apa yang menarik untuk diperkatakan ialah mengenai penglibatan dua penyerang muda negara yang boleh dianggap sangat menonjol sepanjang saingan ini berlangsung.

Menerusi deretan pemain serangan dibawa oleh E. Elavarasan kali ini, kelibat Haqimi Azim dan Najmudin Akmal boleh disimpulkan sebagai sangat konsisten dan memberi impak di bahagian hadapan negara.

Haqimi Azim yang cemerlang musim lalu bersama skuad senior dalam saingan Piala AFF 2022, sekali lagi menampilkan aksi cukup mantap bersama pasukan B-22 negara.

Daripada dua perlawanan dihadapi penyerang Kuala Lumpur City (KL City) ini, Haqimi telah pun menyumbang satu jaringan bersama satu bantuan gol buat Harimau Malaya.

Malah, aksinya juga dianggap sangat berpengaruh buat posisi hadapan Malaysia menerusi gerakan-gerakan dicipta serta bijak memanipulasi pertahanan lawan hasil kelincahan beliau mengawal bola.

Walaupun tidak meledak sebarang gol untuk aksi final ini, secara keseluruhan Haqimi sangat cemerlang dan konsisten sehingga ke penghujung perlawanan untuk terus menarik perhatian para penyokong.

Jika Haqimi diakui kerana kelicikan, tumpuan ketajaman serangan pula sudah tentu menjadi milik Najmudin yang konsisten meledak dua gol dalam dalam saingan ini.

Dalam dua perlawanan dihadapi skuad kebangsaan, Najmudin bermula selaku pemain gantian di separuh masa kedua dan hasilnya beliau berjaya membalas kepercayaan Elavarasan menerusi gol telah dicatat.

Produk Johor Darul Ta’zim (JDT) ini mula mencuri tumpuan sejak beberapa tahun ini kerana penampilannya yang sangat unik selain diakui sangat tajam di hadapan gol.

Memiliki kekuatan fizikal yang bagus, Najmudin juga merupakan penyerang masa depan yang perlu diberi perhatian ramai, ekoran ketajaman beliau yang bijak mencari ruang bagi mendapatkan gol buat negara.

Gandingan Najmudin bersama Haqimi di separuh masa kedua jelas memberi kesan yang sangat positif buat Malaysia selepas kedua penyerang ini bijak memahami antara satu sama lain untuk menyukarkan pertahanan lawan.

Selepas beberapa tahun Malaysia ketandusan bakat penyerang baharu untuk menggantikan era Safee Sali yang sudah pun mengumumkan persaraan dalam dunia bola sepak, kini nafas baharu mungkin dapat diberikan kepada dua pemain ini.

Apa perlu dilakukan oleh Haqimi dan Najmudin ialah terus konsisten dalan setiap perlawanan dihadapi agar terus memikat hati Elavarasan untuk terus digunakan dalam setiap saingan antarabangsa.

Bukan suatu kejutan jika suatu hari nanti Darren Lok serta Syafiq Ahmad mampu mengukir senyuman bangga melihat kedua penyerang ini menyinar bersama skuad senior.

Apapun, kredit tetap perlu diberikan buat barisan pemain lain seperti Safwan Mazlan, Aliff Izwan, Fergus Tierney, Aiman Afif, serta semua bintang muda negara yang sangat menyerlah dalam saingan Merlion Cup ini.

Semoga impian untuk melihat skuad muda negara ini kembali meraih pingat dalam saingan Sukan SEA akan datang kembali menjadi kenyataan buat para penyokong bola sepak negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN