Menurut Michael Feichtenbeiner, pemain Selangor tidak akan bermain di Liga Malaysia, jika setiap peluang terhidang berjaya disudahkan dalam bentuk jaringan gol selepas melihat skuadnya gagal mencetak gol.
Mereka tewas 0-2 kepada Terengganu FC dalam aksi minggu ke-6 Liga Super selepas melepaskan satu gol di setiap babak menerusi Faisal Halim pada minit ke-20 dan penalti yang disudahkan Kipre Tchetche (minit ke-60).
Baginya, apabila melepaskan beberapa peluang awal untuk menghasilkan gol, moral pemainnya mula menurun dan kesannya mereka gagal memberikan prestasi yang lebih baik. Itu antara apa yang telah dikesannya.
Pelawat lebih mendominasi serangan di awal babak pertama dengan Terengganu cuba mengimbanginya. Selepas 15 minit barulah tuan rumah berhasil untuk bertenang dan merampas sedikit penguasaan aksi.
📹 HIGHLIGHTS: @FCTerengganu 2-0 @SelangorFC
Terengganu FC meraih kemenangan kedua musim ini hasil jaringan Faisal Abdul Halim dan Tchetche Kipre.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/aKZ0CDdBpO
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 22, 2022
Selangor mengasak benteng Terengganu dua kali dalam tempoh enam minit menerusi hantaran lintang Fazly Mazlan yang gagal disudahkan Caion pada minit ke-3, sebelum rembatan liar Fazly Mazlan tiga minit kemudian.
Selepas dua percubaan ini, The Red Giants ‘dibuai’ oleh penguasaan Sang Penyu. Walaupun tidak sepenuhnya, namun Selangor seperti hilang cengkaman di jentera depan yang digerakkan oleh penyerang, Caion.
Tiada hantaran akhir mampu menemui Caion di kawasan final third, malah Shahrel Fikri juga seperti ‘terputus’ hubungan dengan jentera tengah yang digerakkan Hein Htet Aung, Alex Agyarkwa dan Baha’ Abdelrahman.
Pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner seperti menyalahkan moral pemain yang tercalar akibat gagal meledak gol tanpa melihat masalah sebenar Caion yang kurang menerima sokongan di jentera serangan.
“Kami mencipta beberapa peluang di awal babak pertama dan dalam 20 minit awal, kami mendominasi perlawanan dan bermain baik, jadi pada awalnya, saya sangat yakin [kami akan dapat keputusan positif].
“Selepas gol pertama lawan yang dicetak menerusi percubaan pertama Terengganu ke gol, ia seperti ‘membunuh’ moral kami.”
Michael Feichtenbeiner
Menurutnya lagi, Selangor bermain tidaklah terlalu buruk, namun yang berbeza antara kedua-dua pasukan adalah betapa efektifnya pasukan lawan dalam menyudahkan percubaan yang terhidang berbanding skuadnya.
“Mereka juga manusia biasa. Jika setiap peluang berjaya disudahkan, sudah tentu mereka tidak akan bermain di Malaysia. Ini perkara biasa dalam bola sepak [moral jatuh lepas gagal ledak gol],” ulas pengendali itu lagi.