Pemain tengah Malaysia bawah 23 (B-23) iaitu Mukhairi Ajmal tampil meluahkan rasa cukup kecewa seusai perlawanan terakhir negara di pentas Piala Asia B-23 yang berlangsung di Qatar.
Menurut Mukhairi, beliau jelas kecewa dengan prestasi diri sendiri yang gagal untuk membantu skuad B-23 negara tampil lebih baik pada kejohanan Piala Asia tersebut dengan mereka tidak mampu mengumpul walau satu mata.
Apatah lagi, ini menjadi pentas terakhir buat Mukhairi dalam saingan Piala Asia B-23 dengan beliau selepas ini tidak boleh lagi beraksi di kejohanan tersebut kerana sudah melepasi had umur selaku pemain senior.
Pemain muda Selangor itu juga mengakui ramai tidak menyukai aksi beliau bersama skuad B-23, dan itu dibuktikan sendiri menerusi media sosial apabila ada segelintir penyokong mempertikaikan kewibawaan Mukhairi di atas padang.
“Saya memang kecewa dengan diri saya sendiri, sebab ini saingan Piala Asia B-23 yang kedua dan terakhir kepada saya serta ia bukan hari terbaik buat saya.
“Mungkin bukan dekat sini yang terbaik buat saya, tetapi mungkin di tempat lain dan saya tahu orang tak suka dengan saya. Tak apa, saya harap dapat memperbaiki diri saya lagi dengan saya akui beraksi dengan teruk lah.
“Dengan musim pun masih belum bermula, jadi kita tak ada ‘match fitness’ yang baik, tetapi orang anggap dan berharap seolah saya seorang sahaja bermain di atas padang.
“Jadi yalah, sebab saya dah lama maka saya perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya selaku kapten pasukan B-23 negara,” luah Mukhairi menerusi perkongsian video Astro Arena.
Pada edisi kali ini, Malaysia menjadi antara negara tersingkir awal dalam kejohanan Piala Asia B-23 selepas mereka gagal mengumpul sebarang mata sepanjang mengharungi tiga perlawanan.
Lebih perit, Harimau Malaya B-23 juga gagal mencipta keputusan positif pada aksi terakhir mereka ketika berdepan Kuwait, apabila pasukan kebangsaan mencipta kekalahan 1-2 di Stadium Al Janoub, Qatar.
Keputusan itu menjadikan Malaysia berada di tangga terbawah peringkat Kumpulan D, dengan hanya satu jaringan sahaja direkodkan skuad kebangsaan tanpa mengumpul sebarang kutipan mata.
Pada aksi tersebut, Malaysia hanya memperoleh jaringan tunggal menerusi Haqimi Azim di separuh masa kedua selepas mereka ketinggalan dua gol di tangan Kuwait bersama aksi cukup seimbang.
Mukhairi yang dibawa masuk pada minit ke-30 permainan gagal untuk menyumbang sebarang perkara positif di posisi hadapan Malaysia dan menjadi antara mangsa amukan peminat di media sosial.