Myanmar Times melaporkan penjaring lima gol dan terbanyak buat Myanmar dalam Sukan SEA 2019 yang lalu telah menerima tawaran kelab daripada Thai League 1 dan Liga Super Malaysia.
Pemain yang dimaksudkan adalah penyerang berusia 21 tahun, Aung Kaung Mann yang ketika ini beraksi bersama Ayeyawady United, yang merupakan naib juara Myanmar National League.
Selepas membantu Myanmar meraih pingat gangsa dalam Sukan SEA yang lalu, pemain yang semakin meningkat namanya itu kini dikhabarkan menjadi buruan beberapa kelab di Asia Tenggara.
Myanmar cemerlang di peringkat kumpulan apabila menjuarai aksi Kumpulan A dengan 10 mata dan melangkah ke separuh akhir, sebelum dikecewakan Indonesia 2-4, selepas tambahan masa.
Tidak mahu menamakan kelab-kelab yang menawarkan kontrak buatnya, Aung Kaung Mann menjelaskan mungkin akan menolak tawaran daripada Malaysia, tetapi belum ada kepastian lagi.
Begitupun, ia mungkin bakal diumumkan dalam masa terdekat ini dengan menyatakan antara pertimbangannya adalah tawaran gaji yang lebih baik berbanding apa yang diperolehinya ketika ini.
“Saya mendapat tawaran daripada Thailand dan Malaysia, tetapi belum membuat keputusan lagi mengenainya. Begitupun, saya akan menolak tawaran daripada kelab di Malaysia kerana gaya permainan mereka nampak tidak sesuai untuk saya,” jelasnya.
“Saya berharap untuk mendapat tawaran pakej gaji yang lebih baik berbanding yang ditawarkan sekarang,” jelasnya lagi yang belum lagi membuat penampilan di peringkat senior skuad Myanmar.
Selain Aung Kaung Mann, rakan sepasukannya, Myat Kaung Khant juga dikhabarkan bakal berhijrah ke Thai League 1 pada musim 2020 nanti, meninggalkan kelabnya di Myanmar, Yadanarbon.
Melihatkan ‘trend’ terkini, pemain-pemain skuad senior Myanmar tampak memilih untuk menyertai kelab-kelab yang berpengkalan di Thailand. Mungkin Aung Kaung Mann juga bakal memilih destinasi yang sama dan tidak akan berhijrah ke Liga Malaysia.
Begitupun, jika pasukan dari Malaysia itu mampu menawarkan gaji yang sesuai dengan permintaannya, mungkin Liga Malaysia bakal menjadi lokasi untuknya untuk menampilkan kemampuannya.
Pasukan Liga Super manakah yang telah menawarkan kontrak? Melihat situasi terkini, kemungkinan besar ianya daripada Perak ataupun Pahang yang masih memburu penyerang import.
Kredit Foto: MFF