Menjawab Persoalan Kenapa Messi Tidak ‘Berkorban’ Main Tanpa Gaji Jika Sayangkan Barcelona

Lionel Messi Barcelona

Linangan air mata Lionel Messi ketika ucapan perpisahannya telah membuktikan cinta dan kasih tidak berbelah bahagi terhadap Barcelona yang menjadi tempat beliau menabur budi dan bakti selama lebih 20 tahun.

Ia merupakan ucapan terakhir Messi buat rakan sepasukan dan peminat yang menandakan berakhirnya era gemilang La Pulga di Nou Camp.

Pihak pengurusan Barcelona mendakwa kegagalan untuk menyambung kontrak pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or itu adalah disebabkan peraturan kewangan atau kawalan ekonomi (ECP) La Liga.

Maka timbul persoalan, sekiranya Messi benar-benar sayangkan Barcelona, mengapa beliau tidak sanggup ‘berkorban’ menyambung kontrak sekurang-kurangnya untuk tempoh semusim dengan beraksi tanpa mengambil sebarang gaji?

Sudah terhantuk baru terngadah

Presiden Barcelona, Juan Laporta mendedahkan hutang kelab tersebut ketika ini dianggarkan sekitar €1.2 bilion (RM5.97 bilion). Jumlah tersebut memuncak disebabkan mereka telah kehilangan pendapatan sebanyak €487 juta (RM2.42 bilion) pada musim 2020/21 sahaja.

Laporta mengakui beliau amat terkejut apabila mengetahui keadaan sebenar kewangan kelab Catalan itu adalah lebih teruk daripada apa yang dijangkakan.

Punca kehilangan pendapatan tersebut adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti penajaan, pemasaran, perniagaan, pelaburan dan sebagainya.

Namun kebanyaa pemerhati berpendapat punca utama kepada masalah kewangan Barcelona adalah kerana pembaziran selepas mereka berbelanja besar dalam pasaran perpindahan pemain.

Kelab tersebut mula berbelanja lebih dari €100 juta setiap musim untuk mendapatkan pemain-pemain baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Antara pemain yang boleh disenaraikan adalah Phipippe Coutinho (€165 juta dari Liverpool pada 2018), Ousmane Dembele (€135 juta dari Barussia Dortmund pada 2017), Antoine Griezmann (€120 juta dari Atletico Madrid pada 2019) dan Frenkie De Jong (€86 juta dari Ajax pada 2019.).

Semua kos itu tidak termasuk bayaran gaji mewah yang diterima oleh semua pemain berkenaan.

Ukur baju di badan sendiri

Pada musim 2019/20, Barcelona telah membelanjakan sekitar €671 juta hanya untuk pembayaran gaji dan kos tersebut merupakan pembayaran gaji tahunan tertinggi oleh sebuah kelab dalam sejarah dunia sukan.

Namun disebabkan kehilangan pendapatan yang begitu mendadak, menyerahkan bukti serta dokumen mengenai sumber pendapatan dan kekuatan kewangan kelab dari sudut kemampuan untuk menampung kos operasi dan perbelanjaan pasukan sehingga akhir musim.

Ia adalah untuk memastikan tiada pasukan yang mengeluarkan belanja untuk gaji pemain lebih daripada had yang dibenarkan iaitu nilai pendapatan kelab.

Berdasarkan audit yang telah dibuat oleh pihak La Liga, had pembayaran gaji yang mampu dibayar oleh Barcelona pada musim ini adalah sebanyak €160 juta (RM798 juta) sahaja. Nilai tersebut jelas terlalu jauh berbanding rekod €671 juta pada dua tahun lalu.

Ini menyebabkan Barcelona menghadapi kesukaran untuk ECP walaupun mereka mengurangkan gaji Lionel Messi sehingga 50 peratus.

Messi mata duitan?

Berdasarkan pendapatan dan kemewahan yang sudah dinikmatinya pada hari ini, pastinya bukan satu masalah untuk beliau tidak menerima gaji dari kelab kesayangannya itu selama setahun.

Malah beliau juga masih boleh menjana pendapatan tinggi menerusi sumber-sumber lain seperti penajaan, iklan, pelaburan dan sebagainya.

Wartawan The Daily Mirror, Colin Millar ada penjelasannya.

Terdapat klausa dalam undang-undang buruh di Sepanyol yang tidak membenarkan mana-mana pekerja kontrak dikurangkan gaji lebih daripada 50 peratus daripada gaji sebelumnya.

Tindakan tersebut adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya manipulasi atau penyelewangan kewangan. Ini bermakna secara perundangan, Messi tidak boleh terus mengikat kontrak di Barcelona tanpa mengambil sebarang gaji.

Sekalipun jika Messi menawarkan diri untuk bermain musim 2021/22 ini tanpa gaji sekalipun, Barcelona kini sudah pun mempunyai kesukaran untuk mendaftarkannya sebagai pemain disebabkan jumlah keseluruhan gaji yang sudah melebihi had maksimum.

Gaji pemain ketika ini sudah pun mencecah sehingga 110 peratus daripada pendapatan tahunannya dan mereka perlu mengurangkan lagi sehingga 70 peratus bagi mencapai tahap yang dibenarkan oleh ECP.

Keadaan tersebut membuatkan empat pemain baharu lain iaitu Sergio Aguero, Memphis Depay, Eric Garcia dan Emerson Royal juga berkemungkinan berdepan dengan masalah tidak dapat didaftarkan.

Penyelesaian jangka pendek

Salah satu cara untuk Barcelona mengatasi masalah dalam jangka masa singkat ini adalah melalui dua cara iaitu menjual pemain sedia ada dan bekerja keras dalam menambah angka pendapatan kelab menerusi tajaan.

Proses untuk cara pertama masih berjalan dengan beberapa pemain sudah pun dijual, dipinjamkan atau dilepaskan secara percuma dan beberapa lagi dikatakan bakal menyusul.

Namun cara kedua pastinya agak sukar kerana sebelum ini Barcelona dianggap kelab yang mewah dengan tajaan kerana adanya pengaruh pemain seperti Messi.

Kegagalan mempertahankan pemain terbaik dunia itu di Nou Camp menyebabkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan Barcelona mulai kendur.

Menurut laporan dari Brand Finance, nilai jenama kelab tersebut mengalami kemerosotan sebanyak 11% sebaik sahaja Barcelona mengumumkan Lionel Messi tidak lagi menjadi pemain mereka di mana peratusan itu bersamaan dengan €137 juta.

Penutup

Tidak hanya penyokong Barcelona, peminat sukan bola sepak secara umumnya tentu agak terkilan kerana tidak dapat menyaksikan pemain yang sudah pun dianggap legenda itu menjadi ‘one club men’ dalam sejarah.

Dengan pelbagai pencapaian peribadi yang diraih di usia 34 tahun, kariernya sudah pun dianggap berada di penghujung untuk tempoh beberapa tahun sahaja lagi.

Namun segala yang berlaku pastinya mempunyai hikmah di sebaliknya. Tutup buku lama dan buka buku baharu, kini masa untuk Messi fokus dengan lembaran baharu dalam kehidupannya bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN