Mengenang Ken Worden, Pencetus Kebangkitan Selangor Di Era 90-an

Ken Worden Selangor

Apabila mendapat perkhabaran tentang kematian Ken Worden pada usia 78 tahun di Australia baru-baru ini, penulis telah hilang kata-kata. Nama ini begitu dekat di hati penyokong Selangor.

Walaupun dilahirkan di England dan kemudian mencipta nama selaku pemain dan jurulatih di Australia, Ken Worden banyak meluangkan masa dalam kehidupannya di Malaysia.

Selangor yang berdepan dengan tempoh sukar pada awal 90-an secara tiba-tiba telah melantik seorang jurulatih asing. Tiada siapa yang mengenali nama Kenneth Joseph Worden ketika itu.

Namun pada tahun pertamanya bersama Selangor, beliau telah membawa Selangor melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 1991 bertemu Perak.

Ia mengulangi perlawanan akhir kejohanan yang sama setahun lalu yang menyaksikan Perak mencatatkan kemenangan dramatik 4-2, selepas ketinggalan 0-2 di belakang Selangor.

Untuk perlawanan akhir Piala FA 1991, ia berlangsung di Stadium Merdeka yang memuatkan seramai 45 ribu orang penonton.

Perak yang dibarisi pemain bintang seperti Azizol Abu Haniffah, P. Ravindran ‘Kinta Express’ dan Nidzam Adzha Yusoff kekal menjadi pasukan pilihan.

Kredit Foto: chedinshpere

Selangor pula diketuai oleh Ismail Ibrahim dan diperkuatkan oleh pemain-pemain yang tidak kurang hebatnya seperti Karel Stromsik, Robert Dunn, Adam Abdullah, P. Gunalan, Zainal Nordin, Ghani Ali dan Melek Rahman.

Tetapi yang mencuri perhatian ketika itu tentulah P. Maniam yang merupakan seorang pemain muda borpotensi. Ken Worden berjaya menggilap bakat pemain ini sehingga muncul penjaring terbanyak Selangor pada tahun itu dengan sembilan gol.

Namun Selangor berjaya membuat kejutan dengan menang 1-0 hasil jaringan Ismail Ibrahim pada minit ke-76. Ia merupakan satu-satunya jaringan kapten Selangor itu pada musim 1991, sekali gus melumpuhkan impian Perak untuk merangkul kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Perak. Selangor. FA Cup. Piala. 1991. Merdeka Stadium. Ismail Ibrahim. Azizol Abu Haniffah. Jijon (7)
Kredit Foto: chedinsphere

Ken Worden juga membawa Selangor muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama. Ia sekaligus menarik minat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melantiknya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Beliau yang menggantikan Rahim Abdullah pada Januari 1992 telah membawa Malaysia menjuarai Kejohanan Jemputan di Vietnam dan Piala Jakartaraya pada 1992 selain Pesta Bola Merdeka pada 1993.

Kemudian selepas kembali bersama Selangor, Ken Worden juga adalah individu yang berjaya menamatkan kemarau Selangor selama sembilan tahun untuk menjulang menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 1995 dan turut mengulanginya pada 1996 dan 2002.

Beberapa pemain yang pernah dibimbing oleh Ken Worden juga kini sudah pun mencipta nama selaku jurulatih dan pengulas bola sepak.

Antaranya adalah Nidzam Jamil, Azman Adnan, Mehmet Durakovic, Datuk K. Rajagopal, P. Maniam, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Rusdi Suparman, Yusri Che Lah, Tengku Hazman Raja Hassan, Azmin Azram Abdul Aziz,  Asmawi Bakiri, Rudie Ramli dan ramai lagi.

Malah masih ada pemain di bawah bimbingannya yang masih aktif bermain pada hari ini iaitu Amri Yahyah dan Skukor Adan.

Menerusi satu temubual bersama wartawan The Star, T. Avineshwaran, Ketua Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh menceritakan bagaimana watak Ken Worden yang begitu kontra di dalam dan di luar padang.

Ketika sesi latihan, bekas pemain Preston North End tersebut dianggap sebagai seorang yang sangat garang, serius dan mahu setiap pemain memberikan komitmen 100 peratus terhadap setiap arahan dan taktikal yang diberikan.

Tetapi di luar padang, Ken Worden merupakan seorang yang kelakar, periang dan bersahabat baik dengan semua pemainnya. Beliau merupakan seorang jurulatih yang mengambil berat tentang kebajikan semua anggota pasukan.

Dollah kemudian mengimbau kembali kenangan ketika bersama skuad kebangsaan di bawah bimbingan Ken Worden.

“Saya masih ingat semasa bertanding di Indonesia dalam Piala Jakartaraya pada 1992. Kami akan bermain menentang Australia dalam perlawanan akhir dan dia beritahu akan minum air dari kasutnya jika kami menang, dan kami menang!” ujar Dollah.

WORDEN memeluk Dollah yang berjaya meledak gol pembukaan ketika berdepan Korea Selatan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdekan 1993. FOTO NSTP

“Dia tunaikan janjinya [minum air dari kasut], walaupun sebenarnya kami fikir dia tak akan lakukan, tapi dia benar-benar buat.”

“Wajahnya sentiasa serius, tetapi dia mempunyai hati yang lembut. Dia selalu buat lawak jenaka, sentiasa bercakap dengan kami, sentiasa lakukan sesuatu yang membuatkan kami berasa selesa.

“Setiap kali sesi latihan semakin berat, dia ada untuk menenangkan kami semua. Dia ibarat rakan karib buat kami.”

“Saya ada terlalu banyak cerita bersama Ken dan pasti saya amat merinduinya. Pernah dia beritahu saya dan Zainal [Abidin Hassan] yang kami perlu ke luar negara untuk beraksi di peringkat tertinggi.

“Semua kata-katanya itu memberi makna yang besar kepada saya, sekalipun selepas saya bersara. Saya sentiasa berhubung dengannya dan banyak berbual panjang.”

Dollah juga memuji sikap profesional Ken Worden yang membimbing skuad negara. Beliau pernah dipanggil untuk berbincang bersamanya mengenai perancangan pasukan, termasuk pembentukan kesebelasan utama skuad negara yang bakal beraksi.

“Ia antara satu kelebihan pada dirinya, walaupun dia marah tapi kita tahu dia sebenarnya berlembut juga, nampak saja garang, kita boleh cakap dengan dia kalau kita setuju dengan dia dan dia bersikap profesional. Saya suka cara dia begitu,” kata Dollah lagi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN