Bekas Jurulatih Selangor, Ken Worden Meninggal Dunia

Bekas jurulatih Selangor, Ken Worden meninggal dunia pada usia 78 tahun hari ini. Perkhabaran sedih tersebut turut dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi.

Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden, dilahirkan pada 2 Februari, 1943 di Preston, England tetapi lebih menyerlah kariernya sebagai pemain dan jurulatih di Australia sebelum berhijrah ke Malaysia pada 1991 untuk menjadi jurulatih Selangor yang muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia di bawah kendaliannya.

Ken Worden dianggap sebagai salah seorang jurulatih asing yang memainkan peranan penting mencorak saingan bola sepak Malaysia sejak dari awalnya.

Pertama kali tiba di negara ini selaku jurulatih Selangor, bekas penyerang Burnley di Liga Inggeris ini turut pernah melatih beberapa pasukan negeri lain seperti Sabah dan Terengganu.

Malah Worden turut pernah bergelar pengendali pasukan negara pada 1992 sehingga 1993.

Tetapi Worden paling diingati kerana kegemilangan beliau bersama Selangor apabila menjadikan pasukan Lembah Kelang itu sebagai gergasi bola sepak tanah air pada 1990 an.

Antara kejuaraan yang beliau pernah kecapi bersama Selangor adalah Piala FA pada 1991, tiga gelaran Piala Malaysia pada 1995. 1996 dan 2002, serta Piala Sumbangsih pada 1996 dan 2002.

Antara pemain yang pernah beraksi di bawah kendalian Ken Worden ketika bersama Selangor atau skuad kebangsaan adalah seperti Zainal Abidin Hassan, Mubin Mokhtar, Khairul Azman Mohamad, K. Gunalan, Azizol Abu Haniffah, Malek Rahman, Dollah Salleh dan Azman Adnan.

Leave a Reply