Datuk Paduka Ahmad Basri Akil bukanlah nama yang asing bagi majoriti penyokong bola sepak negeri Kedah. Seorang tokoh yang mendedikasi seluruh hayatnya untuk sukan yang cukup dicintai iaitu bola sepak.
Menerusi penglibatan dan perancangannya, Allahyarham telah berjaya mentransformasikan bola sepak Kedah sebagai sebuah pasukan kerdil di Malaysia kepada sebuah pasukan yang digeruni di negara ini hasil dari kerja keras dan tidak pernah kenal akan makna penat lelah.
Kedah mula bangkit menjadi gergasi bolasepak Malaysia setelah beliau merencana perancangan dalam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bermula tahun 1984.
Jatuh bangun Sang Kenari
Beliau bertindak merangka pelan tindakan dengan unjuran beberapa tahun ke hadapan dan terhasillah Projek 90 yang mula berputik seawal tahun 1987. Kedah tewas tiga tahun berturut-turut kepada Kuala Lumpur dalam final Piala Malaysia.
Akhirnya kejuaraan yang dinanti-nantikan tiba pada tahun 1990 dengan menjuarai piala berprestij kebanggaan rakyat Malaysia buat kali pertama dalam sejarah setelah menewaskan Singapura 3-1 dalam perlawanan akhir.
Ia adalah kejayaan yang sangat manis buat Allahyarham, pemain-pemain Kedah dan rakyat negeri yang sentiasa di belakang pasukan tersebut. Nyata usaha tanpa mengenal penat lelah, telah membuahkan hasil buat mereka.
Pada masa yang sama, dengan kebolehannya Allahyarham telah dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan dan berjaya membantu Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA 1989.
Kecuali ‘detik hitam’ tersingkir ke divisyen 2 pada tahun 1992, segalanya tampak jelas bahawa gergasi bola sepak tanah air telah muncul di wilayah utara Malaysia. Malah skuad Sang Kenari ini telah menjulang kejuaraan berganda, Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada tahun 1993.
Kedah yang juga dikenali dengan nama Sang Kenari turut mencipta sejarah muncul pasukan pertama muncul dalam pentas final Piala Malaysia sebanyak 6 kali pada era itu (1987-1993).
Kehebatan Datuk Paduka Ahmad Basri Akil di dalam bidang pengurusan bola sepak tidak dipandang sepi oleh ahli gabungan FAM. Pada tahun 1996, beliau dilantik sebagai Naib Presiden FAM dalam satu kongres badan induk itu.
Beliau turut memegang port folio bahagian pembangunan belia ketika bersama FAM. Ahmad Basri dikenali sebagai seorang pemimpin yang berani dan bersuara lantang.
Ditikam tak mati
Malangnya, langit tidak selalunya cerah, akibat dari kelantangannya melontarkan kritikan dan menyatakan pendapat peribadinya mengenai kepincangan FAM, beliau telah digantung sebanyak dua kali.
Allahyarham digantung dari memegang apa-apa jawatan berkaitan bolasepak dalam Malaysia oleh FAM dari tahun 2001 hingga 2005, hanya kerana beliau mengkritik FAM dan bersuara untuk masa depan bola sepak Malaysia.
Walaupun digantung oleh FAM, cinta dan kasih Allahyarham tidak pernah pudar. Beliau terus menjadi kolumnis jemputan akhbar tempatan bagi menyuarakan pendapatnya.
Sebaik sahaja penggantungannya tamat pada 2005, Allahyarham kembali mengemudi pasukan Kedah yang ketika itu berada pada ‘zaman gelap’, terkontang-kanting beraksi di Liga Perdana.
Namun kecintaannya terhadap sukan bola sepak sekali lagi disekat apabila digantung tiga tahun selepas menegur FAM melalui kenyataan dalam kolumnya di akhbar Harian Metro pada 4 September 2006 yang mengkritik program pembangunan FAM kerana menutup Akademi Bolasepak pada tahun 2000.
Tetapi lihatlah bagaimana pada hari ini FAM boleh berbangga dengan kewujudan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) yang telah melahirkan ramai bakat-bakat baharu di negara kita pada hari ini.
Walaupun digantung dari terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak, Allahyarham terus menjadi ‘penasihat’ buat pasukan Kedah. Hasil sentuhan emasnya, Sang Kenari kembali terbang tinggi dengan menjuarai Liga Perdana pada musim 2006 untuk kembali ke Liga Super pada musim berikutnya.
Di situlah bermula zaman kemuncak pasukan dari utara tanah air tersebut. Kedah yang ketika itu dibimbing Azraii Khor Abdullah, Radhi Mat Din dan Ahmad Sabri Ismail di barisan kejurulatihan telah muncul juara treble dengan menyapu bersih gelaran Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Yang bulat tak datang bergolak, yang pipih tak datang melayang. Kejayaan itu bukan muncul sekelip mata, tetapi adalah hasil dari perancangan jangka masa pendek Allahyarham sejak beliau kembali mengurus pasukan.
Kontroversi lawatan Manchester United
Meskipun masih dalam tempoh penggantungan, Allahyarham tiada sebab untuk Allahyarham menghentikan kritikannya terhadap FAM yang menyatakan persetujuan untuk menyambut kehadiran lawatan Manchester United ke Asia pada Julai 2007.
Juara Liga Perdana Inggeris musim 2006/07 itu juga dijadualkan akan singgah di Jepun, Korea Selatan dan Macau. Sedangkan ketika itu Malaysia sepatutnya memberikan fokus kepada persiapan Piala Asia selaku tuan rumah bersama yang turut melibatkan Indonesia, Vietnam dan Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 29 Julai.
Manchester United pula telah memilih tarikh 27 Julai untuk bermain di Kuala Lumpur, iaitu dua hari sebelum tarikh perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta.
Keputusan tersebut jelas satu langkah sumbang sehingga menimbulkan kemarahan pihak Konfederasi Bola Sepak Asia(AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana FAM dianggap mengabaikan tanggungjawab sebagai tuan rumah.
Sedangkan pada tahun sebelumnya FAM dan AFC telah menandatangani perjanjian untuk tidak menganjurkan sebarang acara bola sepak sepanjang Piala Asia berlangsung.
Malah Presiden FIFA ketika itu, Sepp Blatter mengambil serius kes tersebut dan berhubung dengan pihak Persatuan Bola Sepak England (FA) dan memberikan peringatan bahawa tidak sepatutnya kelab ternama Eropah bermain di Asia pada tarikh yang sama dengan kejohanan paling berprestij di benua ini.
Setelah mendapat bantahan dan kritikan dari seluruh ahli gabungan AFC, Timbalan Presiden FAM pada waktu itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akhirnya mengesahkan lawatan Manchester United ke Kuala Lumpur telah dibatalkan.
Penutup
Tanggal 15 Julai 2008 Datuk Paduka Ahmad Basri Akil telah kembali menemui sang pencipta. Ia merupakan hari yang cukup mendukacitakan bukan sahaja buat peminat bola sepak Kedah, tetapi juga seluruh komuniti bola sepak negara.
Pergimu tiada ganti.
~ Foto Arena Hijaukuning pic.twitter.com/AWXPnQwgoH— Kedah Fans Club (@penyokong_kedah) April 26, 2014
Mesikpun jasadnya telah tiada, legasinya terus kekal. Kedah sekali lagi muncul juara treble pada 2008, sekaligus meraih pencapaian yang digelar ‘Double Treble’, rekod yang masih gagal dipecahkan oleh mana-mana pasukan sehingga hari ini.
Kritikan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil terhadap FAM pada satu masa dahulu mungkin ada benarnya. Bola sepak negara mungkin tidak menjunam seperti hari ini jika teguran dan nasihat Allahyarham diendahkan oleh pihak berkenaan satu masa dahulu.
Lihatlah kejayaan yang diraih oleh negara-negara Asia yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan yang sudah jauh meninggalkan kita pada hari ini. Malah kita juga sudah ketinggalan beberapa langkah dari Vietnam yang cuma menjadi ‘belasahan’ negara kita satu masa dahulu.
Jika difikirkan, mungkin kita gagal kerana tidak meletakkan insan yang begitu komited dan bekerja keras seperti Allahyarham di tempat yang sepatutnya dalam FAM.