Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Bola Sepak Korea Utara?

Korea Utara. Ketika anda memilih untuk membaca artikel ini pada hari ini di tahun 2017, penduduk di Korea Utara sedang hidup dalam tahun 106; berdasarkan kalendar Juche.

Kalendar Juche yang unik ini diperkenalkan pada 1997, berdasarkan tahun kelahiran pengasas negara Korea Utara, Kim II-Sung (1921). Oleh itu, Korea Utara menolak untuk mengiktiraf apa sahaja acara dunia sebelum tempoh itu.

Pasukan bola sepak Malaysia dijadualkan akan berhadapan dengan Korea Utara pada 10hb November (esok), dalam saingan pusingan kelayakkan Piala Asia 2019.

(Photo by Thananuwat Srirasant/Getty Images)

Perlawanan tersebut akan diadakan di Buriram, Thailand sebagai gelanggang berkecuali pilihan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), selepas perlawanan yang pada asalnya dijadualkan di Pyongyang ditangguhkan akibat ketegangan politik dan juga isu keselamatan di negara republik itu.

Untuk persaingan yang adil, perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan yang turut dijadualkan di Malaysia turut dipinda ke Buriram, bermakna kedua-dua pasukan akan menempuh 2 perlawanan dalam tempoh 3 hari.

Artikel kali ini menampilkan beberapa fakta yang perlu anda tahu mengenai bola sepak Korea Utara.

Persatuan Bola Sepak DPR Korea

Skuad kebangsaan Korea Utara ditadbir oleh Persatuan Bola Sepak DPR Korea, yang diwujudkan pada 1945 dan dianggotai oleh pegawai dari Parti Sekerja Korea serta kalangan pegawai tentera.

Tidak banyak yang diketahui mengenai organisasi ini. Ia bagaikan misteri seperti mana negaranya yang hanya membenarkan 28 jenis fesyen rambut sahaja untuk rakyatnya.

(Photo credit should read JUNG YEON-JE/AFP/Getty Images)

Satu perkara yang pasti, ia dipimpin oleh menteri d Kementerian Sukan Korea Utara, yang juga merupakan seorang leftenan Tentera Rakyat Korea, Ri Yong-Mu.

Disiplin ketenteraan turut diterapkan kepada pemain skuad Korea Utara, sehingga tampil seperti satu unit batalion askar di medan perang Ini dapat dilihat ketika mereka tampil di kejohanan Piala Asia 2015 yang lalu.

Ketika berada di lorong pemain menuju ke padang, kesebelasan pemain utama hanya mereka membisu dan berwajah serius. Malah ketika sesi latihan, tidak ada sesiapa dibenarkan untuk berada dan mengikuti sesi tersebut dan hanya kedengaran sedikit suara arahan dari jurulatih sepanjang latihan dijalankan.

(Photo credit should read KIM WON-JIN/AFP/Getty Images)

Temuduga dan wawancara di kalangan anggota skuad bola sepak bersama wartawan adalah dilarang sama sekali bagi Korea Utara. Satu-satunya sumber maklumat untuk skuad Korea Utara ialah melalui pegawai media yang telah dilantik.

Pada 2013 BBC melaporkan perlawanan bola sepak yang diadakan di Pyongyang. Namun media British tersebut menyifatkan suasana perlawanan sebagai hambar walaupun dengan kehadiran lebih 50,000 penyokong.

Pemain dan penyokong mungkin mahu menunjukkan lebih emosi ketika perlawanan, namun enggan berbuat demikian kerana risau ia akan dianggap keterlaluan oleh rejim pemerintah yang sentiasa mengawasi gerak geri mereka.

Sekatan kewangan oleh FIFA

Sekatan adalah salah satu isu yang sedikit sebanyak merencatkan perkembangan bola sepak di Korea Utara. FIFA turut menarik balik dana bernilai US$1.66 juta disebabkan oleh projek nuklear republik itu.

Dana berkenaan sepatutnya dijadikan sebagai bajet untuk membangunkan bola sepak di Korea Utara. Timbul juga kerisauan dana tersebut akan digunakan untuk kegunaan lain yang tidak sepatutnya.

(Photo by Martin Rose – FIFA/FIFA via Getty Images)

Sekatan sebegini hanya membawa perkhabaran buruk untuk pembangunan akar umbi bola sepak di Korea Utara. Tatkala negara jiran seperti Korea Selatan sudah jauh berada di hadapan dari segi pembangunan bola sepak, nasib anak kecil di Korea Utara yang mahu menceburkan diri ke dalam kancah bola sepak profesional masih samar.

Rekod di pentas antarabangsa

Setelah mengejutkan ramai sehingga berjaya melayakkan diri ke suku akhir Piala Dunia 1966, Korea Utara memerlukan 44 tahun untuk beraksi sekali lagi di Piala Dunia.

Untuk ini, kredit harus diberikan kepada mereka. Sekurang-kurangnya rakyat di Korea Utara sudah meraikan pasukan kebangsaan mereka ketika beraksi di Piala Dunia, manakala kita masih lagi menunggu Harimau Malaya ke Piala Dunia buat pertama kalinya.

(Photo by PA Images via Getty Images)

Namun bagi Korea Utara, Piala Dunia 2010 adalah kejohanan yang mereka mahu lupakan. Selepas bermula dengan baik, walaupun tewas 2-1 kepada Brazil dalam perlawanan pertama, mereka dibelasah Portugal 7-0.

Ivory Coast melengkapkan kedukaan mereka untuk Korea Utara tampil sebagai pasukan dengan rekod paling teruk dalam Piala Dunia 2010.

(Photo by Ross Kinnaird/Getty Images)

Sejarah bertanding di Piala Asia juga tidak menjanjikan harapan untuk masa sepan bola sepak Korea Utara. Pada 1980, Korea Utara menduduki tempat ke-4 pertandingan Piala Asia.

Edisi seterusnya penyertaan mereka, Korea Utara menduduki tempat ke-8 dalam kejohanan Piala Asia edisi 1992. Kemudian Korea Utara terpaksa menanti untuk tempoh masa 19 tahun untuk kejohanan Piala Asia yang seterusnya.

Korea Utara membuat penampilan dalam Piala Dunia 2010.

Dalam tempoh itu, mereka pernah menarik diri daripada menyertai kejohanan tersebut pada 1996, gagal melayakkan diri dalam kejohanan edisi 2000 dan 2004 sebelum digantung daripada menyertai kejohanan edisi 2007 disebabkan dakwaan salah laku.

Piala Asia edisi 2011 dan 2015 adalah penampilan terteruk Korea Utara di kejohanan ini, dan kini mereka sedang memburu untuk slot ke Piala Asia 2019.

Masa hadapan bola sepak Korea Utara

Sukar untuk membicarakan secara terperinci mengenai masa depan bola sepak di sebuah negara yang secara dasarnya mengasingkan diri daripada dunia luar.

Namun bukanlah bola sepak Korea Utara tidak ada harapan langsung.

(Photo credit should read ED JONES/AFP/Getty Images)

Korea Utara pernah tampil sebagai antara gergasi bola sepak Asia satu masa dahulu. Ini bermakna  mereka turut masih punyai potensi untuk pergi jauh jika pembangunan bola sepak di negara berkenaan dijalankan dengan sistematik.

Mereka memiliki liga bola sepak mereka sendiri dikenali sebagai DPR Korea League, menampilkan 11 pasukan bertanding. Korea Utara turut mempunyai pemain berbakat yang beraksi di luar negara.

Terbaru ialah bintang muda yang beraksi bersama Cagliari di Serie A Itali, Han Kwang-Song yang turut menjadi pemain Korea Utara pertama untuk menjaringkan gol di Serie A.

(Photo by Enrico Locci/Getty Images)

Ini bermakna Korea Utara turut memiliki permata bola sepak seperti mana negara jiran mereka Korea Selatan dan juga Jepun, jika dicungkil dan digilap, mampu menjadikan Korea Utara sebagai kuasa bola sepak Asia.

Buat masa ini, mereka masih dianggap sebagai gergasi yang tidur.

Rumusan

Kita harus realistik. Korea Utara mungkin tidak memiliki kekuatan seperti Korea Selatan, Jepun, Arab Saudi atau pun Australia. Tetapi untuk Malaysia, mereka masih lagi lawan yang sukar dan perlu dihormati.

Apa pendapat anda? Mampukan skuad Harimau Malaya mencuri kemenangan daripada Korea Utara dalam perlawanan pusingan kelayakkan Piala Asia 2019 di Buriram esok?

Mampukah skuad negara menghidupkan kembali peluang untuk ke Piala Asia 2019?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN