Bekas tonggak Aston Villa, Gabby Agbonlahor menyifatkan pembelian Arsenal ke atas Gabriel Jesus jauh lebih meninggalkan impak berbanding penyerang baharu Manchester City iaitu Erling Haaland.
Jesus menyertai Arsenal dengan nilai perpindahan sebanyak £45 juta selepas meninggalkan City bersama pelbagai rekod kejuaraan telah dikecapi sebelum itu.
⛅️ On Cloud No. 9
🔴 Welcome to Arsenal, Gabriel Jesus pic.twitter.com/kPgOx9uVZd
— Arsenal (@Arsenal) July 4, 2022
Baik Haaland atau Jesus, kedua penyerang ini telah menjadi pilihan utama pengurus masing-masing pada awal musim selaku tonggak serangan utama.
Ketika ini, Arsenal jelas bermula dengan sangat baik dalam persaingan English Premier League (EPL) apabila mengungguli carta liga menerusi 18 mata dikumpul.
Agbonlahor memberi sebab tersendiri mengapa Jesus dianggap pembelian terbaik pada awal musim ini berbanding Haaland dalam saingan EPL.
“Pendapat saya Jesus merupakan pembelian terbaik dilakukan pada awal musim ini. Haaland telah melakukan sesuatu yang sangat luar biasa bersama City. Namun kelab tersebut sebelum ini pun sangat berbisa untuk memperoleh jaringan walaupun tanpa Haaland.
“Jesus telah menukar dimensi serangan Arsenal kepada sesuatu yang sangat baik. Arsenal kini memiliki pemain serangan yang boleh diharap mereka untuk terus mencipta tekanan ke atas pertahanan lawan,” ulas Agbonlahor menerusi Sport Bible.
Pada masa sama, Agbonlahor tidak menafikan penyerang City itu berkemungkinan akan memenangi anugerah Kasut Emas pada musim pertama beliau bersama kelab tersebut.
“Saya telah pun melihat aksi Haaland pada awal musim ini. Apa boleh dikatakan, jika pemain tersebut tidak beraksi dengan baik, beliau masih lagi mampu untuk terus menyumbang jaringan bersama kelab. Seolah penyerang ini berasal dari planet lain,” tambah beliau lagi.
Haaland on a hat-trick! 👊
🔵 3-2 🦅 #ManCity pic.twitter.com/gO6g0wV2kQ
— Manchester City (@ManCity) August 27, 2022
Ketika ini, penyerang sensasi dari Norway itu telah pun menjaringkan 11 gol bersama City daripada tujuh perlawanan dihadapi mereka.
Haaland menjadi antara pemain yang hangat dibincangkan oleh pemerhati bola sepak setelah ditandatangani City bersama seorang lagi penyerang baharu Liverpool iaitu Darwin Nunez.
Walaupun begitu, Agbonlahor jelas mengkritik keras kelibat Nunez ketika ini yang bernilai £85 juta dan lebih mahal berbanding Haaland.
“Bila saya tengok Nunez beraksi, daripada awal lagi saya merasakan sentuhan pertamanya juga agak teruk.
“Sebelum ini kita dengan cepat memanggil Lukaku dengan gelaran ‘Timberland boots’ di media sosial seperti Twitter setelah penyerang tersebut memiliki sentuhan pertama tidak berkualiti dalam permainan.
“Tetapi sekarang rasanya Nunez juga layak memiliki gelaran tersebut berdasarkan aksi-aksinya sebelum ini yang sangat lemah ketika membuat sentuhan pertama,” sindir Agbonlahor.
Pada awal musim, Nunez dilihat berjaya memberi impak positif menerusi sentuhannya ketika saingan FA Community Shield sewaktu menewaskan Manchester City.
62' – Salah's low cross finds Nunez, whose flicked effort is saved well by Rodak at the front post.
[1-0]#FULLIV pic.twitter.com/4VCIUlJoKw
— Liverpool FC (@LFC) August 6, 2022
Namun segala-galanya berubah apabila Nunez gagal untuk menemui aspek penyudahnya bersama Liverpool selain digantung beberapa perlawanan, setelah kekasaran dibuat beliau kepada Jochim Andersen sewaktu berdepan Crystal Palace.