Mengapa Levy Madinda Dan Junior Eldstal Dibawa Sertai Projek JDT?

Levy Madinda Junior Eldstal JDT 2022

Timbul persoalan mengapa dua pemain ini dibawa masuk saat jendela perpindahan kedua yang baru berakhir baru-baru ini – mengapa Johor Darul Ta’zim (JDT) masih mahukan kudrat Levy Madinda dan Junior Eldstal?

Saat khabar angin bertiup kencang mengenai bekas pemain skuad kebangsaan Itali, Sebastian Giovinco akan menyertai JDT, secara tiba-tiba hanya dua nama yang tidak asing di Liga Malaysia (Liga M) diumumkan.

Harus diakui, ia merencatkan keterujaan pendokong JDT yang teranti-nanti pengumuman tentang Giovinco.

Apakah sebenarnya projek atau perancangan JDT untuk kedua-dua pemain tersebut – Madinda dan Eldstal?

Memperkukuhkan JDT II di Liga Premier

Ini adalah asbab yang paling besar disamping mengukuhkan JDT secara keseluruhannya. Apabila JDT II kuat, skuad utama JDT juga mendapat manfaat untuk membuat rotasi pemain. Apa yang berlaku adalah mungkin kualiti pemain di JDT II tidak segah atau mampu untuk mencabar slot dalam skuad utama Harimau Selatan.

JDT II berada di tangga ke-3 Liga Premier dengan mengumpul 21 mata, satu mata di belakang Terengganu FC II dan Kelantan FC. Walaupun berpeluang meloncat ke takhta liga disebabkan kekurangan dua perlawanan berbanding TFC II, namun mereka akan tetap di belakang Kelantan FC yang juga kekurangan dua perlawanan.

Dapat dilihat Madinda dan Eldstal lebih kepada projek untuk JDT II disamping menjadi sandaran kedua buat skuad utama. Mereka telah melepaskan penyerang import, Bienvenido Maranon yang mungkin kurang memberi impak bersama skuad kedua JDT – membuat sembilan penampilan dengan tiga gol direkodkan setakat ini.

Madinda pernah beraksi bersama Sabah FC pada musim lalu dengan 16 penampilan dan empat gol, namun tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak Januari yang lalu. Pengalamannya bersama skuad kebangsaan Gabon dan Sabah dapat dimanfaatkan oleh JDT II selain boleh sekali sekala tampil bersama skuad utama.

Eldstal pula sudah biasa dengan suasana di JDT apabila pernah bersama mereka selama empat musim sejak 2015 sebelum mengumumkan mahu berehat panjang akibat siri kecederaan dan slipped disc yang dialaminya.

Sudah biasa dengan suasana Liga Malaysia

Disebabkan itu, mereka menjadi pilihan untuk kukuhkan JDT. Mereka tentunya tidak memerlukan masa yang panjang untuk sesuaikan diri dengan suasana Liga M berbanding jika mereka bawa masuk pemain ‘fresh’.

Ini adalah jendela pendaftaran pemain yang kedua, jadi kita hanya berbaki setengah tahun sahaja lagi untuk segalanya dinoktahkan. Mengambil risiko membawa pemain ‘fresh’ yang tidak biasa dengan Liga M adalah satu perjudian yang amat besar dari segi impak kepada moral dan prestasi selain tentunya kewangan pasukan.

Madinda beraksi baik bersama Sabah dan Eldstal sudah terlalu biasa dengan suasana di JDT dan Malaysia sebagai pemain berstatus warisan. Jadi, risiko yang JDT ambil amatlah kecil dan ia turut membantu JDT II.

Kedua-dua mereka boleh beraksi di posisi tengah yang mana amat diperlukan di JDT II, bukan skuad utama.

Malah Eldstal tiada masalah di posisi bek tengah, yang amat ditagih kualitinya di JDT II – sudah bolos 11 gol.

JDT bantu untuk ‘jual’ Madinda sahaja?

Kita tahu Madinda sudah tiada kelab untuk tempoh lebih enam bulan sejak meninggalkan Sabah. Tiada pasukan mahu mengambilnya walaupun beliau merupakan pemain kebangsaan Gabon – 56 penampilan antarabangsa.

Disebabkan sepanjang hampir setengah tahun ini beliau tidak terikat dengan mana-mana pasukan, pengendali Gabon, Patrice Neveu telah menyisihkannya. Jadi, adakah JDT hanya persinggahan buat Madinda sahaja?

Mungkin ya dan mungkin tidak. Ia boleh jadi benar kerana beliau adalah dibawah kendalian agensi yang Kiko Insa bekerja, Agensi Ruiz & Gomez. Jadi sebagai ejen rasmi buat skuad Harimau Selatan, mungkin JDT membantu Kiko dan agensi tersebut untuk membina semula profil pemain ini untuk diketengahkan semula.

Mungkin juga JDT memang berminat dengan kelibatnya dan mereka mahu memperkukuhkan pasukan untuk saingan lebih sengit di AFC Champions League (ACL) yang menyaksikan JDT beraksi di pusingan 16 terbaik.

Begitupun, ia mungkin lebih cenderung kepada untuk membantu membina profil pemain ini yang kian hilang.

Walau apa pun sebabnya, selamat datang diucapkan ke kem juara Liga Super lapan musim berturut-turut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN