Sebelum berita pengumuman kemerdekaan Catalonia dari Sepanyol oleh kerajaan Catalonia, Barcelona merupakan bandaraya yang terkenal dengan budaya bola sepaknya, seni bina bangunannya dan cuacanya yang nyaman.
Tetapi segalanya berubah, bermula pada tarikh 1 Oktober 2017. Pada hari tersebut, sebuah referendum telah diadakan untuk mendapatkan undian rakyat Catalonia sama ada mereka mahu merdeka dari Sepanyol atau kekal bersama Sepanyol.
90% pengundi referendum tersebut berkata “ya”. Mereka mahu merdeka dari Sepanyol. Tetapi keputusan referendum itu diumumkan “tidak sah” oleh Mahkamah Persekutuan Sepanyol atas sebab yang telah kami jelaskan dalam artikel ini.
Tetapi pengumuman Mahakamah Persekutuan Sepanyol itu tidak diendahkan oleh Presiden Catalonia, Carles Puigdemont yang terus menandatangani deklarasi kemerdekaan Catalonia sebelum menangguhkan pengumumannya.
Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memberi reaksi balas terhadap berita tersebut dengan mencabar Puigdemont untuk mengumumkan kemerdekaan Catalonia sehingga tarikh 19 Oktober.
Rajoy turut memberi amaran, pengumuman kemerdekaan ini datang dengan akibatnya – campur tangan dari Madrid dan penggantungan kuasa autonomi mereka.
Ini semua reaksi daripada kerajaan. Bagaimana pula dengan reaksi rakyat Catalonia di Barcelona? Mengapa mereka mahu merdeka dari Sepanyol? Mengapa ada juga yang mahu kekal bersama Sepanyol?
Apa yang anti-kemerdekaan kata?
Rata-rata rakyat Catalonia yang menentang idea kemerdekaan wilayah kelahiran mereka daripada Sepanyol merupakan golongan muda yang baru mahu membina karier profesional mereka.
“Catalonia sudah hilang benda yang lebih penting daripada kuasa autonomi kerajaan; ia dah hilang tarikan kepada orang yang mahu meluaskan perniagaan mereka di sini. Sebagai golongan muda yang sedang mencari pekerjaan, perkara ini yang paling merisaukan saya,” kata Anna, pelajar jurusan undang-undang kepada BBC.
Rakyat Catalonia yang anti-kemerdekaan juga melihat tiada keperluan bagi kerajaan mereka meniup sentimen ‘aku kau’ ketika mereka sepatutnya menerapkan perpaduan sesama komuniti EU (European Union) dan meniup sentimen ‘kita’.
“Saya juga orang Catalan. Tapi saya juga orang Sepanyol. Saya tahu banyak benda perlu diubah di Catalonia. Tetapi ia tak boleh diselesaikan dengan mencipta ‘dinding’ antara kita dengan dunia luar,” hujah Anna lagi.
Selain itu, rakyat Catalonia yang anti-kemerdekaan juga tidak menggemari hakikat bahawa referendum kemerdekaan yang dibuat oleh kerajaan mereka mempunyai banyak ‘lubang’ (loopholes) dari segi undang-undang.
Dalam undang-undang referendum kemerdekaan Catalonia, kerajaan Catalonia tidak menyatakan jumlah minimum peratusan keluar mengundi yang perlu dicapai supaya referendum tersebut dikira sah.
Referendum kemerdekaan Catalonia yang diadakan pada 1 Oktober lepas mencatatkan peratusan keluar mengundi yang rendah – 43%.
Dalam sains politik, peratusan keluar mengundi yang rendah bukanlah refleksi tepat kepada kehendak rakyat dan boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan kepada sebahagian besar populasi.
Apa yang pro-kemerdekaan kata?
Sementara itu, rata-rata rakyat Catalonia yang menyokong idea kemerdekaan daripada Sepanyol terdiri daripada golongan pertengahan umur dan lanjut umur yang telah menyaksikan bagaimana kerajaan pusat berkali-kali menindas Catalonia.
Golongan muda yang pro-kemerdekaan pula kebanyakkannya cakna mengenai sejarah Catalonia ketika era General Franco dan pernah merasai sendiri ketidakadilan daripada kerajaan pusat. Ini menyebabkan mereka mempunyai mentaliti “it’s us against the world”.
Andres da Silva, pelajar politik antarabangsa di Universitat de Barcelona adalah salah seorangnya. Ketika ditemu ramah oleh BBC, da Silva berkata:
“Ada beberapa pusat kajian dan universiti yang terpaksa menangguhkan projek kerana kerajaan pusat membekukan dana. Inilah yang saya katakan kerajaan pusat gemar menindas orang Catalan.”
Golongan pro-kemerdekaan juga melihat keengganan kerajaan pusat untuk berbincang mengenai prospek kemerdekaan Catalonia secara diplomatik sejak 40 tahun lepas sebagai satu penindasan.
“Apabila kerajaan pusat langsung tidak mengendahkan jemputan dialog kerajaan kami untuk membincangkan referendum kemerdekaan yang dipersetujui kedua-dua pihak, saya tahu sampai bila-bila kami takkan merdeka jika kami tak berani seperti sekarang,” kata da Silva lagi.