Chelsea menempah tiket ke perlawanan akhir Piala Carabao selepas berjaya menundukkan Tottenham Hotspur 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stamford Bridge itu.
Kedudukan 90 minit perlawanan menyaksikan Chelsea menang 2-1, menjadikan keputusan 2-2 selepas Tottenham menang 1-0 pada aksi pertama di Wembley tempoh hari.
Ketiadaan Harry Kane, Son Heung-Min dan Dele Alli nyata merencatkan corak permainan anak buah Mauricio Pochettino bagi melebarkan kelebihan satu gol yang dimiliki sebelum sepak mula perlawanan.
Chelsea yang turun selaku tuan rumah dilihat mencipta lebih banyak peluang memburu jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-27.
N’Golo Kante meledakkan rembatan padu dari luar kawasan penalti Tottenham Hotspur yang melepasi celah kaki Moussa Sissoko dan penjaga gol, Paulo Gazzaniga untuk gol pertama Chelsea sekaligus menjadikan aggregit 1-1.
Berselang 11 minit kemudian, giliran Eden Hazard pula menggembirakan kem Chelsea setelah pemain kelahiran Belgium itu menolak masuk bola hasil hantaran Cesar Azpilicueta dalam kawasan penalti.
Fernando Llorente kembali menyamakan kedudukan aggregit (2-2) pada minit ke-50 menerusi tandukan yang dilakukannya menewaskan Kepa Arrizabalaga selepas beliau menerima umpanan di sebelah kanan gawang Chelsea.
Kedudukan aggregit 2-2 kekal hingga tamat permainan memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Willian, Cesar Azpilicueta dan Jorginho tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut buat Chelsea manakala hanya Christian Eriksen dan Erik Lamela berupaya menjaringkan gol buat Spurs.
Eric Dier menyepak tinggi melewati palang gol manakala tendangan yang diambil Lucas Moura berjaya dihalang Arrizabalaga. David Luiz muncul wira The Blues apabila sepakannya yang mengambil sepakan terakhir telah membawa Chelsea ke perlawanan akhir bagi bertemu Manchester City.