Perak mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2017 apabila berjaya menundukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Aksi yang sedikit hambar dipamerkan pada permulaan babak pertama apabila bola hanya berlegar-legar di tengah padang tanpa ancaman yang berbahaya terhadap pintu gol kedua-dua pasukan.
Memasuki minit ke-20, Perak mula mengorak langkah dengan melancarkan gerakan bagi memecah pertahanan PKNS FC.
Hantaran jauh yang dilakukan Nazirul Naim dari kawasan Perak kepada Gilmar Jose Da Silva Filho berjaya dikawal bagi melakukan percubaan.
Namun rembatan yang diledakkan pemain import dari Brazil itu hanya singgah di palang gol PKNS FC.
Detik yang ditunggu-tunggu penyokong Perak yang lebih ramai berbanding penyokong tuan rumah akhirnya menjelma apabila skuad The Bos Gaurus dihadiahkan sepakan penalti kerana bola terkena tangan pertahanan PKNS FC dalam kotak penalti.
Yashir Armando Pinto Islame yang mengambil sepakan tidak mensia-siakan peluang dan berjaya menghasilkan jaringan pertama buat Perak pada minit ke-27.
Tersentak dengan jaringan tersebut, tuan rumah memperkemaskan aksi mereka dan hampir mendapatkan jaringan penyamaan.
Percubaan lambung yang dilakukan K.Gurusamy terkena palang pada minit ke-34 merupakan percubaan yang terbaik buat PKNS FC.
Perlawanan babak pertama kekal dengan keputusan 1-0 memihak buat Perak.
Separuh masa kedua
Babak kedua memperlihatkan PKNS FC merancakkan serangan dengan mendominasi babak awal permainan. Usaha bertali arus tuan rumah masih tidak berhasil apabila pertahanan Perak kental bertahan.
Dalam kerancakkan menyerang, Perak menghukum kealpaan PKNS FC apabila berjaya melebarkan kedudukan menerusi jaringan hasil dari sepakan percuma Nazrin Nawi pada minit ke-61 yang terus menerjah gawang yang dikawal Tauffiq Ar Rasyid Johar.
Jaringan tersebut ternyata terus menaikkan moral pemain Perak untuk terus mencari jaringan.
Berpunca dari hantaran lintang dari Nazirul Naim Che Hashim yang tepat ke kepala Gilmar yang dengan tenang berjaya menghasilkan jaringan ke-3 buat Perak pada minit ke-76.
PKNS FC tidak berputus asa bagi mendapatkan jaringan dan usaha mereka berhasil apabila berjaya merapatkan jurang menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-83.
Rumusan
Keputusan tidak berubah hingga tamat permainan dan 3 mata berharga buat Perak dibawa pulang ke Ipoh.
Kali terakhir Perak layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia adalah pada tahun 2011.
Kemarau 6 tahun tidak layak ke suku akhir kini berakhir !