Negeri Sembilan Tewaskan Pahang, Kawal ‘Nasib’ Di Tangan Sendiri Untuk Iringi PKNP

Kumpulan A hanya mempunyai baki 1 slot untuk ke peringkat suku akhir. Ini adalah perlawanan ke-4 Kumpulan, dan kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan 1 mata.

Perlawanan ini bakal menentukan peluang Pahang FA atau Negeri Sembilan untuk mengiringi PKNP FC dalam saingan Piala Malaysia 2017.

Kali terakhir pertemuan melibatkan kedua-dua buah pasukan bertemu di Paroi ialah ketika separuh akhir saingan Piala FA 2017 yang lalu. Skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal tewas kedua-dua perlawanan tersebut. Namun skuad Tok Gajah pasti masih ingat tentangan yang diberi oleh skuad Liga Premier itu.

Laporan

Negeri Sembilan tampil dengan formasi 4-2-3-1 tanpa beberapa tongak utama. Sean Eugene Selvaraj mengetuai jentera serangan skuad Negeri Sembilan tanpa ketiadaan penggempur utama, Bruno Suzuki.

Ahmad Shaharuddin Rosdi tampil dengan formasi 4-4-2, menyaksikan Matheus Alves akan bergandingan dengan Yamil Romero di hadapan.

Pengadil perlawanan, Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim meniup wisel tanda sepak mula perlawanan pada malam ini.

Separuh Masa Pertama

Perlawanan bermula agak seimbang dengan kedua-dua pasukan cuba membina penguasaan di bahagian tengah.

Rentak perlawanan juga agak perlahan dari kedua-dua pasukan sehinggalah pada minit ke-10 rembatan Yamil Romero dari dalam kotak penalti melambung tinggi.

Tersentak dengan percubaan itu, Negeri Sembilan lantas mengatur gerakan. Seminit kemudian menyaksikan Farderin Kadir bijak mengelirukan Heo Jaewon di dalam kotak penalti Pahang selepas menerima lorongan daripada kapten pasukan, Lee Andrew Tuck.

Rembatannya kemudian menewaskan Wan Muhammad Azraie Wan Teh untuk meletakkan Negeri Sembilan di hadapan dengan jaringan 1-0.

Minit ke-32 menyaksikan gerakan menarik Lee Tuck di sebelah kiri gawang Pahang, mengelirukan 2 pemain pertahanan. Namun rembatan susulannya selepas itu tinggi melewati palang.

Pada minit ke- 35 Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi sekali lagi bergema. Kali ini giliran Khairul Anwar Shahrudin yang tiba-tiba berada di situasi berseorangan tanpa dikawal oleh pertahanan Pahang, melambungkan bola menewaskan Wan Muhammad Azraie yang sedikit ke depan meninggalkan posisinya.

Kedua-dua pasukan cuba melakukan beberapa gerakan ke arah gawang lawan masing-masing selepas itu, namun tidak membuahkan hasil.

Tamat separuh masa pertama, Negeri Sembilan selesa mendahului Pahang dengan jaringan 2-0.

Separuh Masa Kedua

Foto: Pahang FA

Pahang melakukan 2 pertukaran sebelum sepak mula separuh masa kedua, memasukkan Joseph Kalang Tie dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria untuk Syamim Yahya dan Yamil Romero.

Minit ke-50 perlawanan, hantaran lintang dari sebelah kanan gawang menemui Alves, namun tandukan pemain dari Brazil itu tinggi melewati palang gol Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan turut cuba menguji pertahanan Pahang apabila Sean Eugene lolos untuk berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Pahang.

Bagaimanapun, kali ini Wan Muhammad Azraie mengambil langkah berani berhadapan dengan Sean untuk menghalang ancaman pasukan Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan turut melakukan pertukaran pada minit-60 perlawanan, mengeluarkan penjaring gol pertama perlawanan, Farderin Kadir untuk Faizal Abu Bakar.

Minit ke-64 perlawanan Ashari Samsudin gagal menyempurnakan peluang yang terhidang apabila rembatannya selepas membuat satu pusingan badan menarik, terus menuju penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar Sudar.

Pahang melakukan pertukaran terakhir pada minit ke-76 perlawanan, memasukkan Christie Jayaseelan untuk Ashari Samsudin.

Pahang tidak berputus asa untuk mencari jaringan. Minit ke-76, rembatan deras Wan Zaharulnizam ditepis keluar oleh Saiful Amar Sudar.

Sepakan penjuru susulan menyaksikan situasi kelam kabut di hadapan gawang Negeri Sembilan sebelum bola melantun masuk dari Heo Jaewon untuk jaringan buat Pahang.

Kedudukan semasa Negeri Sembilan 2-1 Pahang, menyebabkan 5 minit masa kecederaan dilalui dalam keadaan mendebarkan buat kedua-dua pasukan.

Serangan balas pantas Negeri Sembilan pada minit ke-92 hampir memerangkap pasukan Pahang sebelum tandukan Joseph Kalang Tie tersasar di hadapan gawang Negeri Sembilan.

Pengadil akhirnya meniup wisel penamat dan Negeri Sembilan menundukkan pasukan Pahang dengan jaringan 2-1.

Rumusan

Pahang ditewaskan oleh Negeri Sembilan dalam perlawanan ke-4 Kumpulan A saingan Piala Malaysia 2017 ini.

Keputusan ini menyebabkan tiga pasukan iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan T-Team, masih berpeluang untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Berbaki dua perlawanan, ketiga-tiga pasukan pasti tidak ingin melepaskan peluang yang ada untuk menyertai PKNP FC ke peringkat suku akhir.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN